Home Berita PAS Terengganu

Jaringan Engku Shakir legakan penyokong Terengganu FC

90
SHARE

KUALA NERUS – Jaringan tunggal pemain gantian, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob membantu Terengganu FC menewaskan Penang FC pada aksi Liga Super Malaysia, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Shakir yang masuk menggantikan Omid Nazari memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-74 bagi membolehkan tuan rumah memungut tiga mata.

Bermula dari serangan balas yang digerakkan Sony Norde, Syakir menerima lorongan Sony sebelum melakukan rembatan leret membolosi kawalan Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri untuk gol tunggal perlawanan.

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan kemenangan tersebut.

“Kemasukan pemain-pemain simpanan bagi memberikan tenaga baru kepada pasukan berhasil.

” Kita dapat lihat Nik Sharif berjaya melakukan beberapa percubaan cuma tidak berjaya menghasilkan gol.

“Engku Shakir banyak mengisi posisi sayap sebelum ini, tetapi bermain baik di belakang penyerang dan mendapatkan kita tiga mata,” katanya.

Hasil perlawanan ini, Terengganu FC naik ke tangga ketujuh dengan mengumpul 17 mata dari 12 perlawanan.