Home Kenyataan Media PAS Johor

Janji PM meredakan isu hartal doktor kontrak

155
SHARE

JANJI PM : MEREDAKAN ISU HARTAL DOKTOR KONTRAK

Isu doktor kontrak dan doktor tetap bukanlah satu isu yang baharu kerana perkara ini telah wujud dan menjadi risiko juga kebimbangan kepada para doktor sejak dari 20 tahun yang lalu, pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kelahiran lebih ramai graduan doktor berbanding populasi rakyat menjadi satu masalah hingga menyebabkan ramai doktor yang telah memberikan khidmat walaupun bertahun-tahun namun masih berstatus doktor kontrak.

Seperti yang dapat dilihat kini, pelbagai universiti baik tempatan atau swasta, menawarkan kursus perubatan dan tumbuh bagai cendawan.

Natijahnya, pada musim kemuncak Malaysia sedang berperang dengan pandemik Covid-19 ini, ramai doktor mula mengalami keletihan fizikal dan mental (burn out), dan pada 26 Julai 2021 menyaksikan para doktor menuntut Hartal Doktor terutama dikalangan doktor kontrak membuat mogok secara besar-besaran (masih dalam SOP) untuk menuntut kerajaan kini melakukan tindakan yang memihak kepada mereka.

PAS Johor melihat keadaan ini akan menyebabkan kesan negatif yang mendatang terhadap institusi kesihatan dan juga kepada para pesakit yang kini dalam proses rawatan di hospital dengan situasi kes harian masih tidak kurang daripada lima angka sehari.

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan di laman Facebook (FB) rasminya, dimana beliau telah mengingatkan agar semua doktor tidak menyertai mogok ini dan bermuhasabah kembali akan ‘Aku Janji’ yang telah diangkat sumpah sebelum memulakan perkhidmatan sebagai doktor.

Penyelesaian Segera

PAS Johor mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas keputusan kerajaan dengan langkah-langkah penyelesaian segera buat doktor kontrak, seperti berikut :

1. Sebagai langkah penyelesaian segera, pegawai ditawarkan perlanjutan kontrak untuk dua tahun lagi selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

2. Melanjutkan kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama yang mana langkah ini bagi memastikan pegawai melengkapkan pengajian kepakaran.

3. Kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan pegawai ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

4. Menambah baik kemudahan kepada pegawai kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Justeru, PAS Johor memandang serius akan hal ini dan berharap kebajikan para doktor akan terus terjamin.

PAS Johor amat berterima kasih terhadap para doktor yang berjuang bermati-matian untuk merawat pesakit Covid-19, yang pastinya tak menang tangan sehingga kapasiti hospital hampir tidak dapat menampung jumlah lebihan pesakit.

Satu reformasi Kesihatan Negara yang lebih serius mesti dilakukan demi kepentingan jangka panjang negara dan cadangan yang disarankan oleh Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat Dr Mazri Yahya yang disiarkan dalam portal Harakah Daily hari ini harus diberi perhatian oleh kerajaan.

Dalam tempoh Malaysia yang masih lagi sedang berjuang melawan pandemik Covid-19 ini, PAS Johor juga menyeru agar semua memperbanyakkan doa dan bermunajat kepada Allah SWT.

Semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT. Sekian, terima kasih.

 

RUSMAN KEMIN

Ketua Penerangan

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)

27 Julai 2021 | 17 Zulhijjah 1442H