KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) dinasihat agar tidak menyekat kebebasan bersuara anak muda yang mahukan kebaikan untuk negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, tindakan menyekat kandungan media sosial golongan belia terutamanya di aplikasi ‘tiktok’ tidak mencerminkan demokrasi sebenar yang dijanjikan PH.
Katanya, tekanan sama turut tidak wajar dikenakan terhadap pendakwah berlainan ideologi memandangkan Malaysia sebuah negara demokrasi.
“Berilah ruang kepada anak muda berfikir dengan matang untuk menilai yang mana baik dan buruk.
“Sepatutnya kerajaan hari ini beri tumpuan untuk menyekat isi kandungan serta maklumat yang buruk dan tidak bermoral seperti budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), lucah, ‘scammer’.
“Jangan sekat yang baik disebabkan perbezaan pandangan, beri ruang untuk menegur, mengkritik, kerana ia juga adalah kebebasan, termasuk sindiran-sindiran serta pelbagai cara lain untuk memberikan kefahaman yang tepat kepada setiap orang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui media di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan dibentuk hari ini tidak perlu mengikut ideologi luar yang mahu rakyat mengikut telunjuk mereka semata-mata.
“Kerajaan sepatutnya mendidik anak muda memiliki pemikiran yang matang, kerana mereka adalah golongan terpelajar, mendapat pendidikan di sekolah kerajaan di mana cikgu-cikgunya telah dikawal oleh kementerian, jadi raikanlah mereka.
“Apabila didapati mereka salah berfikir, barulah diperbetulkan apa yang selama ini mereka salah faham serta keliru, jangan ikut zaman Firaun apabila diketahui ada unsur-unsur hendak menjatuhkan kerajaan dia bunuh semua anak-anak lelaki yang baru lahir, akhirnya lahir Nabi Musa dalam istana,” katanya.
Sehubungan itu Mohd Nor mengharapkan anak muda terus menyuburkan dakwah serta menyampaikan maklumat menerusi platform media sosial dengan cara kreatif dan tersendiri.
“Kena sampaikan kebenaran melalui apa sahaja cara mengikut apa yang diajar oleh Allah, berkata benarlah walaupun pahit, dihalang, mahupun disekat.
“Kita hidup berprinsipkan kebenaran, kerana itu menjadi tugas untuk menyampaikan perkara yang benar untuk membina sebuah masyarakat yang bertamadun, negara barat serta Jepun menjadi maju kerana maklumat diberikan kebebasan,” katanya.