Home Berita PAS Pahang

Jangan sampai mak cik penjual nasi lemak dan pak cik goreng pisang tepi jalan terpaksa gulung tikar

4336
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 1 Jun – Kerajaan diseru agar mengkaji semula dasar penggunaan tong gas berwarna ungu agar jangan sampai mak cik penjual nasi lemak dan pak cik goreng pisang di tepi jalan terpaksa gulung tikar hanya kerana tidak mampu menanggung kos gas memasak.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu berkata demikian berikutan tindakan kerajaan yang menguatkuasakan peraturan baharu, di mana peniaga yang menggunakan lebih daripada tiga tong gas sebulan perlu memohon permit khas dan menanggung kos operasi yang meningkat secara mendadak.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan yang mewajibkan penggunaan tong gas berwarna ungu sebagai satu keputusan yang zalim dan tidak berpihak kepada rakyat.

“Peniaga kecil semakin terhimpit apabila terpaksa menanggung kos penggunaan tong gas berwarna ungu yang jauh lebih mahal berbanding tong gas hijau sebelum ini.

“Kerajaan Madani seolah-olah tidak memahami denyut nadi rakyat, peniaga kecil yang sebelum ini bergantung kepada tong gas subsidi kini dipaksa menggunakan tong gas ungu dengan harga hampir tiga kali ganda lebih mahal.

“‘Mereka lebih mementingkan keuntungan atau kantung wang negara semata-mata dengan dengan menaikkan cukai, menarik subsidi dan sekarang menguatkuaskan peraturan ini.

“Kita sedang berdepan dengan suasana ekonomi yang mencabar, kos sara hidup yang tinggi, dan rakyat pula terus ditekan dengan dasar-dasar seperti ini,” ujarnya dalam nada kesal.

Beliau turut mempersoalkan keadilan dasar tersebut, memandangkan Malaysia adalah antara pengeksport gas terbesar dunia, namun rakyat sendiri tidak dapat menikmati kemudahan asas dengan harga yang berpatutan.

Andansura Rabu turut menggesa semua wakil rakyat, tanpa mengira parti, agar bersatu menyuarakan isu ini demi membela nasib rakyat.