KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan lelaki berpakaian menyerupai wanita atau sebaliknya seperti yang berlaku dalam acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi mengutuk tindakan tersebut.
Katanya, isu itu tidak harus dibiar dan dinormalisasikan dalam masyarakat.
“Kerajaan Negeri Terengganu memandang serius isu tular melibatkan beberapa individu lelaki yang berpakaian menyerupai wanita di acara Karpet Merah AJL baru-baru ini.
“Tindakan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan norma masyarakat dan nilai-nilai Islam, malah boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui hantaran Facebook rasminya hari ini
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri amat menitikberatkan syariat Islam dan mempunyai undang-undang yang jelas dalam mengekang perkara ini.
“Terengganu sebagai sebuah negeri yang menitikberatkan syariat Islam mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
“Di mana Seksyen 33 memperuntukkan bahawa orang lelaki berpakaian dan berlagak seperti wanita dan Seksyen 33A orang perempuan berpakaian dan berlagak seperti lelaki adalah satu kesalahan.
“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang termaktub dalam enakmen berkenaan.
Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen dalam memastikan syariat Islam terus ditegakkan dan masyarakat kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Dengan ketegasan ini, beliau berharap agar seluruh lapisan masyarakat terus memelihara nilai-nilai Islam dan menjauhi sebarang bentuk perlakuan yang boleh merosakkan moral serta pegangan agama.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media lain, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya juga mengambil perhatian serius terhadap isu itu.
“Jakim telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Pihak JAKIM turut akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan,” jelasnya.