KUALA TERENGGANU – Pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa memastikan kesihatan diri dalam keadaan tertinggi dan menguruskan tekanan dengan baik sepanjang memandu dan menunggang kenderaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berharap, semua pengguna jalan raya akan menggunakannya secara berhemah dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Apatah lagi sekarang kenderaan semakin banyak dan perilaku pemandu dan penunggang bermacam ragam.
“Sekarang ini, kadar (orang mengalami) ‘stress’ (meningkat), jadi pengguna jalan raya ataupun kita semua diharap pandai menguruskan tekanan supaya kita tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat melepaskan tekanan dengan menekan minyak (sekuat hati),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baru Cina di Taman Shahbandar, di sini petang semalam.
Turut sama dalam menjalankan kempen berkenaan ialah Timbalannya, Zuraida Md Nor, Ketua polis Terengganu, Dato’ Khairi Khairuddin, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion dan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Terengganu menambah, kempen untuk mewujudkan gelombang memandu di jalan raya dengan selamat.
“Bisanya kempen ini diadakan setiap tahun disamping ada sumbangan dan pemberian helmet secara percuma, hasil kolaborasi MKJR , agensi dan pengguna jalan raya,” katanya.