Home Berita PAS Perlis

Jangan Dahului Keputusan Parti

613
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Ahli PAS diingatkan agar tidak sesekali mengambil sikap mendahului keputusan yang ditetapkan kepimpinan parti dalam sebarang situasi serta perkara.

Demikian ingatan yang disampaikan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Ustaz Ahmad Ali ketika menyampaikan Kuliah Subuh Bulanan di Balai Islam MADI dekat sini pagi ini.

Menurutnya, sebarang keputusan yang dibuat oleh PAS, khususnya yang melibatkan persoalan yang besar, adalah terbit menerusi kaedah perbincangan (syura) yang telah ditetapkan dalam Islam dan bukannya dibuat atas dasar kehendak individu semata-mata.

Bila satu-satu keputusan yang dibuat oleh jemaah, khasnya yang menyentuh perkara-perkara pokok, (permasalahan itu) dibincang dulu dalam syura.

Bila bincang dalam syura, adalah perkara-perkara yang boleh diijtihad (guna fikiran untuk keluarkan hukum bila tiada nas qat’ie), lalu bila dipilih satu-satu keputusan, itulah dia keputusan jemaah.

Sebab itulah apabila Tuan Guru Presiden dah buat keputusan, jangan kita pertikai kerana itu adalah keputusan jemaah,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, ketaatan ahli terhadap keputusan-keputusan parti menjadikan PAS sebuah parti yang terus kuat sehingga hari ini meskipun berhadapan dengan pelbagai ujian sepanjang penubuhannya.

Pada masa yang sama, ahli PAS katanya, perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang usaha membawa perpecahan dalam parti kerana ia akan melemahkan parti sekaligus menggagalkan usahanya menyatukan umat Islam di negara ini.