Home Berita PAS Pahang

“Jangan cukup sekadar menang di Beserah!” – Sanusi

352
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 16 Jun – “Kemenangan PAS tidak boleh hanya terbatas di DUN Beserah, kita mesti rebut kemenangan di DUN Semambu, Parlimen Indera Mahkota, seterusnya negeri Pahang dan akhirnya Putrajaya!” tegas Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Indera Mahkota kali ke-22 yang berlangsung di Baluk, di sini kelmarin.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menyeru seluruh jentera parti agar meluaskan pendekatan politik yang lebih inklusif, kreatif dan strategik demi menawan hati rakyat.

Menurutnya, PAS perlu berani meneroka pasaran baharu dalam medan politik, termasuk memanfaatkan media sosial, hiburan dan aktiviti sukan untuk mendekati golongan muda.

Tambah beliau, pendekatan baharu ini tetap berteraskan prinsip Islam dan tidak sesekali berkompromi dalam perkara haram.

“Untuk menang, kita tidak gadai prinsip. Kita beri kefahaman, bukan sekadar populariti. Pendekatan boleh berubah mengikut zaman. Jangan terlalu keras hingga orang lari. Kalau seorang lari, hilang satu undi,” tegas beliau.

Dato’ Seri Sanusi turut menyatakan keyakinan bahawa PAS mampu mentadbir Pahang dengan lebih cemerlang memandangkan negeri ini memiliki pelbagai potensi ekonomi dan infrastruktur strategik.

“Pahang ada semuanya, Lapangan Terbang, Pelabuhan Kuantan, lebuh raya, balak, hutan, sumber air. Kalau PAS Teraju Pahang, saya yakin Pahang akan menjadi negeri paling makmur, bukan sekadar nama Darul Makmur semata-mata,” katanya penuh harapan.

Beliau turut menekankan keutamaan kebajikan rakyat dalam agenda PAS, termasuk bantuan kepada pelajar universiti dan golongan miskin jika diberi mandat menerajui kerajaan.

Mesyuarat Agung kali ini menghimpunkan lebih 300 orang peserta, terdiri daripada perwakilan, pemerhati dan tetamu jemputan. Turut hadir ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Semantan, YB Hasanuddin Salim, serta rakan-rakan daripada komponen parti Perikatan Nasional.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh ADN Beserah merangkap Yang DiPertua PAS Kawasan Indera Mahkota, YB Dato’ Haji Andansura Rabu.

Menurut Andansura Rabu,  mesyuarat ini  penting dalam memilih barisan kepimpinan baharu PAS Kawasan Indera Mahkota sebagai persiapan menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-16.

Tambah beliau, Kejayaan PAS mencatat jumlah kerusi terbanyak pada PRU15 menjadi bukti sokongan padu rakyat terhadap dasar dan perjuangan Islam yang konsisten dibawakan parti ini.

Majlis perasmian turut diserikan dengan pelancaran Gimik Perasmian dan Rumah Budi serta penyampaian anugerah kepada cawangan-cawangan cemerlang dalam beberapa kategori iaitu Anugerah Infaq Istiqamah, Anugerah Daftar Ahli Baharu, Anugerah SkimPAS Terbanyak, Anugerah Usrah Cawangan, Anugerah Media Sosial Terbaik

Dua tokoh PAS yang telah kembali ke rahmatullah turut dikenang melalui Anugerah Jasamu Dikenang iaitu Allahyarham Muhammad Safiee Idris (DUN Beserah) dan Allahyarham Wan Yahya Wan Awang (DUN Semambu). Selain itu, sumbangan caruman SkimPAS turut disampaikan kepada waris Allahyarham Muhammad Zharif Abd. Aziz dan Allahyarham Muhamad Safiee Idris.