Home Berita PAS Terengganu

Jangan Biarkan FELDA Terus “Lemas”

9
SHARE

Tidak dapat disembunyikan lagi, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sedang berdepan kemelut kewangan dan kerugian.

FELDA memerlukan pelan penyelamat luar biasa agar masalah aliran tunai dan kerugian yang dialaminya, terus melemaskan Lembaga Pusat itu dan tenggelam dalam cabaran mengembalikan keyakinan peneroka terhadap pengurusan organisasi itu sekarang.

Kita akui sebelum ini mereka telah berusaha dengan pelbagai usaha dilaksanakan merangkumi rasionalisasi model perniagaan dan peluasan operasi bagi memastikan FELDA kembali berdaya maju dan mampu bersaing dalam Industri tempatan bahkan peringkat global.

Namun begitu, pengembangan semasa tidak seiring dengan keupayaan dan kemampuan FELDA untuk terus meletakkannya sebagai satu agensi yang kukuh dan disegani.

FELDA mula berhadapan dengan cabaran yang memberi kesan negatif kepada peneroka, apabila prestasi kewangan selepas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia dan pelaburan dalam sektor bukan perladangan pada era ‘transformasi’ yang diperkenalkan Perdana Menteri ke-6 pada 2010, tidak kondusif.

Antara punca kejatuhan FELDA adalah kelemahan dalam tadbir urus dan perancangan serta ketidakcekapan dalam aktiviti pelaburan.

FELDA turut dibelenggu dengan isu integriti dan akauntabiliti yang menjejaskan keseluruhan operasinya sehingga menyebabkan ia berada dalam kedudukan kewangan yang meruncing dan keberhutangan yang tinggi selepas skandal terbesar pada era Pengerusinya Tan Sri Isa Samad.

Waktu itu FELDA telah memperkenalkan program inovasi tahun 2011 sebagai cubaan memperkukuh kedudukan FELDA dengan mempelbagaikan aktiviti pelaburan.

Antara aktiviti utama dalam model perniagaan tersebut adalah menyenaraikan FGV di Bursa Malaysia dan penubuhan Felda Invesment Corporation Sdn. Bhd. FIC.

Tumpuan FELDA adalah untuk menjadi ‘Economic Powerhouse’ dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi dengan menggembleng sumber dan potensi yang ada melalui pelaburan dalam dan luar negara.

FGV terlibat dalam tiga sektor utama iaitu perladangan, logistik dan perkhidmatan sokongan.

FIC pula beroperasi sebagai syarikat pelaburan induk dalam sektor bukan perladangan seperti hartanah, hospitaliti dan pelaburan strategik di dalam dan luar negara.

Oleh kerana ada penyelewengan , salah urus seperti saya nyatakan di atas ianya telah memberi kesan buruk yang sangat ketara.

FELDA pula hanya terlibat dengan aktiviti utama dalam pengurusan ladang peneroka dan industri kecil sahaja. Dalam erti kata lain aktiviti pelaburan telah diserahkan kepada FIC.

Juga kita boleh katakan FELDA sudah mengecil dari sudut aktiviti keuntungan. Kita boleh lihat situasi FELDA ketika era kegemilangan sebelum transformasi oleh Najib Razak.

Sebelum penyenaraian FGV, dalam tempoh 2007 hingga 2011, prestasi kewangan Kumpulan FELDA adalah memberangsangkan dengan purata pendapatan sebanyak RM3.1 bilion setahun.

Walau bagaimanapun, prestasi kewangan Kumpulan FELDA mula terjejas pada tahun 2013 dengan kerugian mencecah RM2 bilion berbanding keuntungan sebanyak RM5.9 bilion pada tahun 2012.

Kerugian terus meningkat kepada RM4.9 bilion pada tahun 2017. Jumlah liabiliti Kumpulan FELDA telah meningkat dengan ketara daripada RM1.2 bilion pada tahun 2007 kepada RM14.4 bilion pada tahun 2017.

Jumlah kerugian dan liabiliti Kumpulan FELDA yang semakin meningkat jelas menunjukkan FELDA menghadapi masalah kewangan yang serius.

Penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada Jun 2012 dengan harga tawaran asal RM4.55 sesaham telah menjana hasil berjumlah RM10.5 bilion. Daripada jumlah tersebut, FELDA telah menerima sebanyak RM6.0 bilion manakala baki hampir RM4.5 bilion diagihkan kepada FGV.

Hasil tersebut sewajarnya digunakan untuk pelaburan strategik bagi memanfaatkan peneroka dalam jangka panjang. Sebaliknya, FELDA telah membelanjakan hanya sekitar RM1.4 bilion untuk pelaburan baharu yang tidak menguntungkan manakala RM4.6 bilion untuk perbelanjaan tidak produktif.

Konflik Kepentingan dalam Pengurusan dan Operasi FELDA sangat ketara dengan pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah FELDA dan pengerusi lembaga pengarah syarikat bersekutu FELDA seperti FIC, FIC Properties Sdn. Bhd. dan FGV adalah bertentangan dengan amalan terbaik dalam tadbir urus korporat serta mekanisme semak dan imbang.

Beliau juga menyandang jawatan lembaga pengarah kepada kira-kira 20 anak syarikat dan syarikat kepentingan FELDA. Situasi ini telah menimbulkan konflik kepentingan dan salah laku tadbir urus yang akan mendorong kepada FELDA berada dalam skandal dan kancah etika kerja yang tidak berintegriti.

Saya juga percaya dengan sumber-sumber dalaman dan dapatan banyak pihak, juga terdapat laporan berdasarkan kajian audit Forensik seperti pernah dibentangkan di Parlimen, wujudnya kecurangan dalam proses perolehan dan pelaburan menerusi minit mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA dan FIC serta dokumen berkenaan, yang mana pembelian hartanah oleh FELDA dan FIC telah dibeli atas nama Tan Sri Isa dan Mohd Zaid bin Abdul Jalil tanpa melaksanakan kajian due diligence dan kelulusan Lembaga Pengarah FELDA.

Pelan atau model perniagaan ini juga membuka ruang kepada FELDA untuk bergiat secara aktif dalam pelaburan dan pembelian aset bukan teras seperti pembelian hartanah, perhotelan serta pembelian saham syarikat tersenarai.

Walau bagaimanapun, pelaburan secara agresif dan tidak terkawal oleh FELDA dan FIC telah mendatangkan pelbagai isu sehingga kini. Keputusan yang dibuat tanpa perancangan dan proses due diligenceyang teliti turut mendedahkan FELDA dan FIC kepada risiko kerugian akibat melabur dalam syarikat yang kurang strategik.

Tambahan pula, sebahagian besar aset yang dibeli melebihi harga pasaran serta tidak memberi pulangan dan sudah tentu mengundang bencana kerugian seperti apa yang berlaku sekarang ini.

Kita warga FELDA jangan biarkan semua unsur-unsur jahat menjadi perumah dalam FELDA yang mengundang kerugian demi kerugian direkodkan sehingga sampai tahap FELDA akan hilang hanya tinggal nama.

Ada sedikit ruang kesedaran dari pihak pengurusan untuk bersetuju dengan cadangan kami anak-anak peneroka FELDA agar FGV dikembalikan semula kepada FELDA seperti model zaman FELDA Holdings di mana KPF menguasai 51% kepentingan dan terbukti berjaya sebelum FGV merampasnya.

Sekian.
Catatan NARAZA MUDA
Anak Peneroka FELDA 17hb Julai 2025.