Oleh : HABSAH ALI
TEMERLOH, 2 JUN – Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang, YB Hajah Salamiah Mohd Nor, menzahirkan kebimbangan terhadap dasar penggunaan tong gas berwarna ungu yang disifatkan membebankan peniaga kecil, terutamanya dalam kalangan wanita yang mencari rezeki harian bagi menyara keluarga.
“Sebahagian besar peniaga kecil di negara ini adalah wanita, mak cik nasi lemak, penjual kuih, penjaja sarapan pagi. Mereka berniaga untuk membantu keluarga, bukan mencari kekayaan. Dasar ini menambah tekanan kepada mereka,” tegas beliau yang juga sebagai Ahli Parlimen Temerloh.
Menurut beliau, harga tong gas ungu yang hampir tiga kali ganda lebih mahal daripada tong subsidi hijau memberi kesan langsung kepada pendapatan harian para peniaga kecil yang sudah pun bergelut dengan kos bahan mentah yang meningkat.
“Bayangkan jika terpaksa guna lebih tiga tong sebulan, mereka bukan sahaja perlu bayar lebih, malah terpaksa pula memohon permit khas. Ini satu beban yang amat tidak wajar pada waktu rakyat sedang dihimpit kos sara hidup tinggi,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa impak daripada dasar yang tidak dikaji secara holistik telah menyebabkan peniaga kecil menanggung beban di luar kemampuan mereka.
“Kami bimbang kenaikan kos perniagaan ini akhirnya akan turut dirasai oleh pengguna melalui kenaikan harga barang yang diniagakan. Ini memberi kesan rantaian yang menekan rakyat, jangan sampai mak cik yang berniaga di kaki lima dan pasar malam terpaksa berhenti berniaga hanya kerana tong gas terlalu mahal” ujar beliau lagi.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak wajar menutup mata terhadap kesan dasar ini dan menyeru agar pertimbangan semula dilaksanakan demi kebajikan rakyat.
Beliau menggesa supaya subsidi terus disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, bukan ditarik secara menyeluruh sehingga menyusahkan mereka yang sepatutnya dibantu.
“Saya menyeru agar kerajaan menilai semula pendekatan ini dan membuka ruang untuk dialog bersama pertubuhan pengguna serta wakil peniaga kecil. Kebajikan rakyat mesti menjadi asas dalam setiap keputusan,” ujarnya lagi.