DUNGUN – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat sempat menyampaikan pesanan pentingnya menerima ketentuan Allah dalam setiap ujian kehidupan dalam program Bantuan Persekolahan & Aidilfitri anjuran Darul Aitam Paka, hari ini.
Dalam program yang menyaksikan seramai 165 orang anak yatim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menerima bantuan yang disampaikan, beliau mengingatkan supaya bersyukur dan tidak membandingkan diri dengan kehidupan orang lain.
“Boleh jadi apa yang kita suka itu tidak baik untuk kita. Dan boleh jadi apa yang kita tidak suka itu baik disisiNya,” katanya.
Dalam kesempatan sama, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang telah menyokong program ini dan menyatakan bahawa sumbangan mereka sangat berharga untuk menjayakan program tersebut.
“Melalui bantuan mereka, program ini dapat dijalankan dengan sempurna, memberikan kelegaan dan keceriaan kepada anak-anak yatim yang menerima bantuan ini,” tambahnya.
Beliau menyifatkan, program itu tidak hanya menjadi bukti kepedulian kepada golongan yang memerlukan, tetapi juga menggambarkan semangat kesetiaan dan keberkatan dalam menghadapi ujian kehidupan.
“Kita menggesa agar kita semua bersyukur atas segala nikmat yang diberi dan bersedia untuk terus memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dalam masyarakat,” ujarnya lagi.