Oleh : Laila Ismail
18 Januari 2021
SANDAKAN : Jabatan Amal Malaysia (JAM) Zon Sandakan berjaya melaksanakan Program Amal Mega Blood Donation 2021 (AMBD’21) selama dua hari berturut turut yang diadakan serentak di seluruh Malaysia pada 16 dan 17 Januari lepas.
Program yang telah diadakan di Harbour Mall dan Sejati Walk, Sandakan tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak 125 beg darah hasil pendaftaran dari 152 orang sekitar daerah Sandakan.
Seramai 25 orang anggota yang bertugas termasuk kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Duches of Kent berkomitmen dalam membantu mempromosikan kempen derma darah dengan menyatakan kepentingan dan kebaikan sebagai seorang penderma.
Timbalan Pesurujaya 1 PAS Sabah, Sahar Abdul Majid yang turut hadir menyatakan sokongan terhadap program ini dan sempat menderma darah di Sejati Walk sebagai menunaikan tanggungjawab kemanusian ujarnya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Amal Malaysia atas kejayaan program derma darah mega ini serta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya pasukan perubatan HDOK, para penyumbang yang menaja dana program serta semua ahli jawatankuasa yang bertugas.
Antara penaja yang banyak membantu menjayakan program ini adalah dari pihak Harbour Mall, Sejati Walk, K2 Water Sandakan, Got Cha Harbour Mall, Agensi Pekerjaan Mercu Jaya Sdn Bhd, Restoran Dapur Seri Wijaya, Persatuan Bantuan Masyarakat Malaysia Negeri Sabah, Salon Studio dan ramai lagi.