Home Artikel PAS Sabah

JAMNS Terima Penghargaan Daripada PPD Papar

260
SHARE

24 September 2020, PAPAR – Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah (JAMNS) Zon 03 dari Pantai Barat telah menerima jemputan ke majlis perhimpunan bulanan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar, semalam. Majlis tersebut dihadiri oleh para pengetua, guru besar dan pegawai kanan jabatan pendidikan di daerah tersebut.

Dalam majlis tersebut JAMNS telah menerima penghargaan atas sumbangan derma dan sukarelawan pasca banjir yang melanda SK Daingin, Papar pada bulan Jun yang lalu. Hujan lebat dan ribut yang melanda pada penghujung bulan Jun 2020 telah mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar negeri Sabah ditenggelami banjir teruk.

SK Daingin turut menerima kesan daripada musibah tersebut yang menyebabkan kawasan sekolah dipenuhi lumpur dan kerosakan pada fasiliti sekolah. Kejadian luar jangka ini telah mengaktifkan skuad sukarelawan JAMNS Zon 03 untuk datang membantu SK Daingin. Selain bergotong royong membersihkan kawasan sekolah, JAMNS turut mengumpul sumbangan orang ramai bagi membantu sekolah membaiki kerosakan yang ada.

JAMNS hadir menerima penghargaan dan diwakili oleh saudara Hendri Hamsah, Naib Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) yang turut merupakan salah seorang anggota JAMNS Papar. Jabatan Amal Malaysia (JAM) mengucapkan jutaan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan.