Home Berita PAS Terengganu

Jambatan Belukar Bukit putus, tindakan segera diambil

196
SHARE

HULU TERENGGANU – Kerajaan negeri mempertimbang untuk membina jambatan sementara bagi menggantikan jambatan yang runtuh di Belukar Bukit, Hulu Terengganu dalam banjir besar baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, melihat kepada perbelanjaan yang agak besar untuk jambatan itu dibaik pulih sepenuhnya dalam masa terdekat, satu langkah penyelesaian segera perlu dilakukan.

Katanya, ia perlu dilakukan bagi memudahkan penduduk melakukan aktiviti harian

“Laluan yang boleh digunakan adalah dengan membina satu titian di mana motosikal dan pejalan-pejalan kaki melalui kawasan tersebut dan jangkaan siap sebelum sesi persekolahan dibuka  pada 1 April nanti.

“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, cadangannya untuk membina satu jambatan yang baru menelan kos antara RM5 hingga 6 juta dan akan disiapkan seboleh-bolehnya dalam tempoh enam hingga lapan bulan pada tahun ini juga.

“Mudah-mudahan segala perancangan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kesejahteraan rakyat seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan di jambatan Belukar Bukit, Ajil baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pembangunan), JKR Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim, Pegawai-Pegawai Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), dan Pegawai Teknikal JKR Hulu Terengganu.

Tragedi banjir yang menimpa baru-baru ini telah mengakibatkan tanah runtuh di kepala jambatan dan mengakibatkan terputusnya hubungan penduduk di Kampung Belukar Bukit dengan jalan yang menghala ke Kampung Betong, Ajil.