KUALA TERENGGANU – Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu mengesahkan permohonan peruntukan bagi pembinaan jambatan baharu di Laluan Persekutuan FT36 Seksyen 89 yang runtuh sebelum ini telah diluluskan dan kini berada pada peringkat perolehan dengan anggaran kos sebanyak RM36 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, lawatan tapak bagi projek tersebut telah dijalankan pada 7 Oktober lalu manakala tarikh tutup tender ditetapkan pada 12 November ini.
Menurutnya, Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Februari 2026.
“Buat masa ini, tiada pembinaan laluan sementara dilakukan di kawasan runtuhan berikutan risiko tanah masih tidak stabil.
“Penutupan jalan juga telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 24 Januari 2025,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan laluan berkenaan kerana ia tidak selamat dan berisiko tinggi.
Sementara itu, pengguna jalan raya dari kedua-dua arah yang menggunakan Laluan FT36 sama ada dari Hulu Terengganu atau Kota Bharu diminta menggunakan laluan alternatif FT247 yang bersambung ke FT03.
Pada Disember tahun lalu, Jalan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris ditutup sepenuhnya selepas kejadian tanah runtuh sepanjang kira-kira 100 meter akibat hujan lebat, menyebabkan kerosakan serius pada struktur jalan tersebut.
Laluan FT36 merupakan jalan utama yang menghubungkan Tasik Kenyir ke Gua Musang, Cameron Highlands dan Ipoh, selain menjadi nadi perhubungan penting kepada penduduk setempat dan pelancong.





