Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis dengan kerjasama Unit Transfusi Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, akan menganjurkan program Menderma Darah bertempat di Unit Transfusi HTF (belakang Jabatan Kecemasan) pada 7 dan 8 Februari nanti.
Menurut Pengarah Jabatan Amal Perlis, Amirul Jufri Mat Saman, program berkenaan diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa individu memerlukan.
Ujarnya lagi, program berkenaan diadakan selama dua hari bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk tampil menderma darah kepada pihak hospital.
“Kaunter derma darah akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang sepanjang berlangsungnya program itu nanti.
“Kami mempelawa seluruh rakyat negeri ini untuk menyertai program ini sebagai satu usaha dalam membantu pihak hospital memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.