Home Berita PAS Pahang

JAM Pahang terima bot dan enjin sumbangan orang ramai melalui JAM Pusat

140
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

KUANTAN, 28 Feb :: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Pahang telah menerima serahan sebuah bot 14 kaki berserta enjin sangkut 15 kuasa kuda sumbangan orang ramai melalui JAM Pusat dalam satu majlis penyerahan di sini semalam.

Penyerahan tersebut oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Shehdi Hazrik Shamsudin kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang mewakil JAM Negeri Pahang pada Majlis Minum Petang Dan Penyerahan Aset Kepada Jabatan Amal Negeri yang dianjurkan oleh JAM Pusat.

Menurut Shehdi, JAM Pusat bertanggungjawab menguruskan pelbagai bentuk aset sumbangan orang ramai dan mengagihkannya kepada JAM negeri-negeri mengikut keperluan masing-masing.

Ustaz Rosli yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur ketika menerima serahan itu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada JAM Pusat dan secara berseloroh mengulas bahawa bot dan enjin amat sesuai untuk Pahang sebagai ‘negeri tepi sungai’ kerana setiap kali musim tengkujuh ada saja tempat-tempat yang dinaiki air akibat limpahan air sungai.

Beliau yang sering menyertai operasi-operasi JAM Pahang turut melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota Jabatan Amal yang sentiasa memerah keringat berkhidmat secara sukarela untuk membantu masyarakat yang ditimpa bencana.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari secara atas talian kerana tidak dapat hadir ekoran banjir yang melanda negeri Kelantan dan Terengganu semalam.

Di dalam ucapannya beliau menyentuh tentang perlunya Jabatan Amal Malaysia menubuhkan kor penyelamat dan anggota-anggotanya dikurniakan persijilan yang diiktiraf dalam hal-hal berkaitan kerja-kerja menyelamat, selain turut memperkasakan unit media untuk membuat liputan secara terperinci dan konsisten semua aktiviti Jabatan Amal.

https://youtu.be/6vi3d9cRzEE