Home Berita PAS Terengganu

Jalur Gemilang Lusuh perlu ditukar

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menegaskan bahawa pemasangan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan perlu dibuat dengan betul, manakala bendera yang koyak atau lusuh mesti segera diganti bagi memelihara maruah simbol negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan itu mencerminkan sikap bertanggungjawab dan penghormatan terhadap lambang kedaulatan negara.

“Kalau ada bendera yang koyak, itu minta ditukar.

“Adapun bendera yang koyak dan lusuh dan tidak menurunkan bendera tersebut, itu kita serahkan kepada pihak penguatkuasaan,” tegasnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri ketika ini masih mengambil pendekatan berhemah dengan memberi nasihat dan pendidikan terlebih dahulu kepada para peniaga sebelum tindakan diambil.

“Mulanya kita beri nasihat dahulu, jika tidak kita akan buat penguatkuasaan.

“Kita beri pelajaran, dan dalam masa yang sama, kita mahu semua faham erti kemerdekaan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Walkabout bersama peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, di sini semalam.

Razali turut menjelaskan bahawa agihan Jalur Gemilang secara percuma merupakan salah satu cara menyemarakkan semangat patriotisme dan menanam rasa cinta negara dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan negeri mengambil kesempatan untuk membahagi-bahagikan bendera Malaysia, supaya kita menyedarkan orang ramai tentang bulan kemerdekaan.

“Pemasangan Jalur Gemilang ini bukan hanya setakat di bulan kemerdekaan sahaja, ia akan berterusan di bulan lain,” jelasnya.