“ANAK MUDA MULA BISNES TANPA MODAL RM”
Kuantan, 20 September – Persepsi memulakan bisnes memerlukan modal kewangan yang digembar-gemburkan sejak dahulu mungkin tidak lagi relevan buat masa ini. Apatah lagi banyak kisah usahawan berjaya tanpa modal RM.
Dua orang anak muda tempatan, Abdul Razak, 33 dan Faizal bin Mohammad, 27, pengasas Two J Hair Style Barbershop di Balok Baru, Kuantan di sini telah membuktikan mereka berjaya dengan usaha yang berterusan.
Perniagaan kedai gunting yang telah dimulakan sejak tahun 2012 itu kini menerima pelanggan sehingga 160 orang sehari dengan bilangan lapan orang tukang gunting dalam satu-satu masa.
“Tukang gunting di sini semuanya bos. Kami tiada pekerja jadi mereka di sini bijak untuk menguruskan pelanggan untuk menjana pendapatan masing-masing.
“Konsep yang saya dan Ja perkenalkan ini dalam masa yang sama dapat membantu tukang-tukang gunting di sini menjana pendapatan untuk kelangsungan hidup.” ujar Razak.
Menurut Faizal yang juga pengasas Two J Hairstyle, mereka juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam program Perantisan Industri Menengah Atas(PIMA) bagi murid-murid yang ingin mendapatkan sijil kemahiran berkaitan industri gunting rambut.
“Kami ajarkan mereka dari asas hinggalah menguruskan kedai gunting dan mereka perlu mahirkan teknik serta skil menggunting mengikut citarasa pelanggan.” ujar Faizal.
Sementara itu, Muhaimin, 22, seorang pelanggan yang ditemubual berkata, beliau mula menjadi pelanggan tetap di situ sejak bersekolah lagi.
“Di sini sahaja saya menggunting rambut, kepuasan dan layanan yang baik oleh tukang gunting di sini membuatkan kadangkala saya datang bergunting dua minggu sekali.” katanya.
Kini Razak dan Faizal mengharapkan semua kedai gunting rambut anak-anak muda dapat terus bertahan dan terus berusaha agar perniagaan ini terus bersaing dengan sihat.
Fitry Abdullah