Home Berita PAS Terengganu

Jalan raya Gerik-Jeli tahap wajib dibaiki

15
SHARE

KUALA TERENGGANU – Keadaan jalan di laluan Timur-Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli tahap wajib diperbaiki kerana ramai yang berpandangan ia sangat kritikal dan tidak selamat untuk dilalui sebarang kenderaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohd Nor berkata, ketika beliau melalui laluan tersebut telah ada sekitar tujuh kemalangan berlaku ditambah pula faktor hujan serta kesesakan pengguna melalui jalan utama itu untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Tidak melampau jika dikatakan Jalan Raya Gerik-Jeli ini wajib dibaiki sebaik mungkin.

“Jimatkan duit negara dengan pemborosan seperti lawatan pemimpin ke luar negara. Puluhan juta itu boleh digunakan untuk membaiki jalan raya kita yang naif dari segi keselamatan,”ujarnya menerusi satu hantaran di facebooknya, di sini, hari ini.

Beliau yang kini dalam perjalanan menuju ke Hospital Gerik, Perak mengharapkan agar mangsa yang tercedera dalam tragedi nahas pelajar UPSI segera sembuh.

“Semoga yang cedera akan segera pulih dan meneruskan pengajian mereka, juga sokongan perlu diberikan kepada kaum keluarga yang sedang bersedih,” katanya

Dalam pada itu, Bekas Juruterbang Polis DiRaja Malayisa (PDRM), Mohd Ezairol Rezan Zainol berkata, beliau terasa ngilu melihat penghadang jalan jenis zink yang dirempuh oleh bas tersebut.

“Penghadang jalan jenis zink ini dipersoalkan keselamatannya apabila beberapa insiden tragis melibatkan pengguna jalan raya berlaku disebabkan oleh benda ini.

“Ia ibarat pisau tajam di jalanan yang boleh meragut nyawa, mungkin dah tiba masanya pihak berkuasa mempertimbangkan reka bentuk yang lebih selamat demi melindungi nyawa pengguna jalan raya,” ujarnya.

Katanya, beberapa cadangan boleh dipertimbangkan antaranya penggunaan penghadang jenis roller seperti di Korea atau pelapik plastik dipasang bagi mengurangkan risiko kecederaan.