Oleh : RR
SETIU – Isu jalan mendap di Kampung Air Sejuk telah berlarutan sejak sekian lama, kini dalam perancangan untuk dinaik taraf melalui cadangan projek berjumlah RM88 juta.
Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, YB Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, cadangan tersebut masih di peringkat awal dan akan dibentangkan dalam ‘Rolling Plan’ Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun hadapan.
“Setakat ini, projek itu belum diluluskan. Kertas cadangan baharu sahaja diangkat kepada pihak Kementerian untuk dipertimbangkan dalam RMK13. Kalau diluluskan, Insya Allah projek ini akan dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiu berkata demikian ketika ditemui selepas program Permukiman Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Guntong Luar, pada Jumaat.

Ustaz Shaharizukirnain menjelaskan, jalan tersebut mengalami mendapan serius sehingga menyebabkan permukaan jalan beralun dan berisiko kepada pengguna.
“Masalah ini telah beberapa kali dibaiki, lebih kurang enam hingga tujuh kali, tetapi tetap tidak berkesan. Kali terakhir, kos pembaikan mencecah kira-kira RM2 juta, namun masalah mendapan masih berulang,” ujarnya.
Sebelum ini, cadangan awal melibatkan pembinaan jejambat (flyover) dengan anggaran kos RM110 juta, namun setelah dinilai semula, cadangan tersebut ditukar kepada projek naik taraf jalan dengan kos lebih rendah, iaitu RM88 juta.
“Saya telah bangkitkan perkara ini dalam sidang Parlimen tahun lalu, dan susulan itu, satu pertemuan telah diadakan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri bagi membincangkan langkah susulan.
“Lokasi itu juga telah dilawati bersama JKR sebelum ini, dan ketika itu cadangan flyover telah dibincangkan. Namun atas faktor kos dan keutamaan semasa, ia ditukar kepada naik taraf biasa,” katanya.
Beliau menegaskan, perkara paling penting kini adalah memastikan kelulusan segera daripada pihak Kementerian agar kerja-kerja naik taraf dapat dimulakan demi keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.