Home Berita PAS Terengganu

Jaga kebersihan, Terengganu kini destinasi pilihan pelancong

20
SHARE

BESUT – Rakyat Terengganu digesa menjaga kebersihan dengan meninggalkan budaya membuang sampah di merata-rata tempat bagi memastikan kebersihan di negeri ini memuaskan pelancong.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, setiap rakyat perlu berperanan dalam menjadikan amalan kebersihan satu budaya yang perlu ada dalam diri setiap anggota masyarakat.

“Pelancongan merupakan salah satu cabang pendapatan ekonomi negeri Terengganu, seluruh negara hari ini apabila sebut di mana lokasi untuk ‘healing’ maka ramai yang memilih untuk datang ke negeri ini.

“Sekiranya aspek kebersiham tidak dijaga sudah tentu ia akan memberikan imej yang negatif  apabila dicemari sampah sarap seperti plastik, botol mineral, dan sisa-sisa makanan.

“Kerana itu, menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan semua lokasi yang ada dalam negeri ini berada dalam keadaan bersih di samping kita mempromosikan Terengganu untuk terus dikunjungi orang ramai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program International Air Festival (TIAF), di sini, semalam.

Kata Sulaiman, kebanjiran ramai pelancong dari dalam dan luar negara telah merancakkan ekonomi negeri kerana itu sektor pelancongan dijadikan tumpuan utama.

“Agenda memperkasakan pelancongan ini bukan sahaja untuk menguntungkan kerajaan negeri tetapi memberikan pulangan ekonomi yang lumayan kepada komuniti setempat.

“Sebagai contoh kita cukup bangga dengan Bukit Bubus ini yang mengamit kehadiran peserta dari luar negara yang menyertai acara TIAF ini. di mana lokasi diadakan acara ini  telah menyumbangkan impak yang positif kepada penduduk setempat.

“Acara ‘meluncur udara’ ini telah dijadikan sebagai acara tahunan yang telah menjadikan Besut sebagai salah satu tarikan pengunjung serata dunia untuk hadir,” ujarnya.