Home Berita PAS Terengganu

Jaga kebersihan sungai tanggungjawab bersama

114
SHARE

BESUT – Segenap lapisan masyarakat perlu bersama-sama menjaga kebersihan sungai yang merupakan pembekal sumber air kepada manusia agar kebersihannya akan terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, walaupun kebersihan sungai di negeri ini masih terkawal, anggota masyarakat dan komuniti khususnya tidak boleh memandang remeh isu kelestarian sungai.

“Sungai ini perlu kita jaga dengan baik terutama berkaitan dengan sumber air, kita tidak mahu mencemarkan sungai-sungai yang ada ini kerana sudah tentu akan menyukarkan komuniti dan generasi akan datang.

“Bagi menghargai kepentingan, tingkat kesedaran dan galak masyarakat terlibat dalam penjagaan sungai bermula tahun 2005, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan hari Ahad keempat pada bulan September setiap tahun sebagai Sambutan Hari Sungai Sedunia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan hari Sungai Sedunia yang bertemakan ‘Alur Air Dalam Komuniti’ anjuran Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Terengganu di Bukit Bubus, disini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Terengganu, Hanizan Deraman.

Menurut Dr Mamad, sambutan hari sungai juga bertujuan memupuk semangat tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan persekitaran yang lestari khususnya di kawasan badan air.

“Dengan adanya sungai yang terjaga ianya dapat meningkatkan kualiti air supaya menjamin kecukupan sumber air,” ujarnya.

Sementara itu, Hanizan berkata, aktiviti yang diadakan sempena sambutan hari sungai kali ini seperti program kutip sampah sambil riadah secara tidak langsung dapat dan menyemai sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat supaya menjaga sungai dan alam sekitar.

“Tujuan kita buat program ini adalah untuk mendidik semua lapisan masyarakat, pemain industri, restoran, pelajar universiti dan lain-lain untuk bersama-sama mnejaga kebersihan sungai serta alur-alur sungai.

“Kita akan berterusan mendidik demi kelestarian sungai untuk generasi akan datang,” ujarnya.