Home Berita PAS Terengganu

Jadilah Tentera Parti Dan Jentera Kerajaan

1114
SHARE

Jadilah Tentera Parti Dan Jentera Kerajaan

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Kemaman 16 Mac 2019- ‘Saya rasa bangga dengan kehadiran assabiqun (golongan veteran) yang masih bersama dengan jemaah dalam mesyuarat kali ini’ demikian ucapan permulaan YB Dato’ Haji Husain Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu, juga Senator yang merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kemaman ke 59 pagi ini.

‘Mesyuarat dan muktamar akan sentiasa menjadi ingatan kepada kita sepanjang masa, (siapa yang masih ada dan telah tiada).

11 bulan lepas kita perolehi kemenangan. Perlu disedari, ia adalah ujian, selain dari anugerah. Allah mahu lihat setakat mana kita pikul tugas ketika kemenangan. Kita menang selepas hadapi tsunami politik fitnah, terutama dari bekas pimpinan PAS yang mengkhianati perjuangan. Fitnah ini lebih mudah dipercayai, kerana ia dianggap membuka pekung dalam PAS. Fitnah RM90 juta, RM1.4 juta dan lain-lain.’ ujar beliau.

‘Kita mesti bersyukur kerana kita matang, dan bijak menilai. Kita adalah parti politik Islam tertua, bijak mengurus fitnah ini. Kita menang di Kelantan dan Terengganu. Ini antaranya kesan dari tarbiah yang kita lakukan kepada ahli hingga melahirkan sifat keyakinan dan kesetiaan kepada pimpinan. Inilah yang menjadi asas kepada kekuatan parti hingga tsunami fitnah tidak dapat memusnahkan kita.’ sambung beliau.

‘Dari sudut parti, sebelum pilihanraya, kita bawa slogan HARAP, PGU dan kita bawa tema untuk pilihanraya iaitu negara maju, berkat, sejahtera. Ia diharap supaya rakyat dapat terima. PRU 14 paling tenang kerana tidak ada masalah besar. Ia adalah hasil adunan kepimpinan terdahulu melalui tarbiah. Kemenangan kita di Terengganu di luar jangka. Allah menyebut:
إن ينصركم الله فلا غالب لكم
Maksudnya: ‘Jika Allah menolong kamu, tiada siapa yang dapat mengalahkanmu’

‘Suasana mesyuarat kini berbeza, kerana kita ada agensi parti dan kerajaan. Anggota parti yang dilantik menjadi I-MITs, MPKK, ahli majlis dan lain-lain jawatan dalam kerajaan. Jentera parti dari cawangan, MTD dan kawasan mesti digabung-jalin antara
memperkukuh parti, jentera kerajaan dan membina imej kepada kerajaan.’ ujar beliau lagi.

‘Bila bertembung tugas parti dengan kerajaan, ada ahli parti menganggap itu bukan tugasnya. Sebenarnya kita adalah tentera pada parti dan jentera kepada kerajaan. MPKK dan I-MITs tidak akan wujud jika kita tidak menjadi kerajaan. Oleh itu, kita tidak boleh lepas dari semua tanggungjawab ini.
Gabung-jalin di antara parti dan kerajaan sepatutnya menjadikan kita lebih kuat, lebih berprestij, lebih yakin.’ tekan beliau lagi.

‘Kita jangan tinggal pengkalan asasi kerana alasan bekerja sebagai pegawai kerajaan. Sepatutnya kita lebih bertanggungjawab apabila menjadi pegawai kerajaan kerana diberi sedikit elaun.’

‘Pertandingan di kalangan AJK mesti menurut perlembagaan. Ia tidak bercanggah dengan konsep syura. Kita bertanding secara sihat, ikhlas tawar diri kerana sedia pikul amanah. Yang kalah, terus menyumbang, bukan kerana jawatan. Kita juga
perlu bersikap memaafkan, berlapang dada dan berunding. Ambillah semangat Uhud. Pertandingan yang sihat, keputusan akan dapat berkat dari Allah.’ sambung beliau.

”Di Terengganu, ketua parti negeri tidak menjadi ketua negeri. Lalu bagaimana parti menguasai kerajaan? Sebenarnya 80% pimpinan parti ada dalam kerajaan. Kerangka pembangunan yang kita mahu pula ialah berasaskan kepada PITAS. Is menjadi panduan asas kepada pembangunan negeri Terengganu. 20 janji manifesto kita sudah tunaikan 60 %. Cuma ada beberapa perkara yang kita akan buat kemudian. 2 program yang diamalkan iaitu dialog MB dengan ADUN, Ahli Parlimen, Pada DUN dibuat sebulan sekali, dan program MB masuk kampung. Ia program terbuka bertemu rakyat. Ini antara bukti-bukti yang jelas bahawa parti menguasai kerajaan.’ terang beliau.

‘Keadaan politik semasa sekarang agak pelik. Parti minoriti BERSATU jadi tunjang kepada kerajaan. Suara Melayu Islam pula menjadi minoriti di Parlimen. Kontrak sosial banyak yang dicabul, apabila suara bukan Islam dan Melayu lebih dominan. PAS berhadapan dengan lanskap politik sebegini, mesti mengambil langkah bijak. Kita mahu sekat suara DAP yang dibanggakan oleh PAN. Kita mahu perkukuhkan blok pembangkang. Penyatuan blok pembangkang iaitu Umno dan PAS dalam bentuk ta’awun berlaku semenjak lama. Kerjasama politik juga berlaku dalam PRK Cameron Highland dan Semenyih. Timbul ura-ura kerajaan campuran. PAS tidak bincang perkara ini. Setakat ini kerjasama hanya dalam bentuk ta’awun. Rakyat mahukan PAS. Kita mesti ambil peranan dengan cara terbaik.’ akhiri beliau.

(Catatan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kemaman kali ke 59 oleh YB Senator Dato’ Hj Husain Awang di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman)

Sabtu
11.16 pagi