Home Berita PAS Terengganu

Jabatan Mufti, MAIDAM perkukuh kefahaman ilmu falak

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Jabatan Mufti Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menganjurkan Program Bulan Falak Malaysia Peringkat Negeri Terengganu bagi memperkukuhkan kefahaman ilmu falak di kalangan umat Islam khususnya di negeri ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, program sebegini merupakan platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang perkembangan dalam ilmu falak.

“Contohnya mengenai penggunaan teknologi moden, kaedah cerapan, arah kiblat dan pelbagai lagi aspek penting dalam menyokong ketepatan hukum dan amalan umat Islam.

“Malah panel jemputan dapat menjernihkan dan mencerahkan lagi kefahaman kita terhadap ilmu falak,” ujarnya.

Beliau yang mewakili Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bulan Falak Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas usaha yang begitu gigih mengatur program yang amat bertepatan dengan keperluan masa kini.

“Ilmu falak bukan sahaja berkaitan dengan pengiraan waktu solat atau penentuan awal Ramadan dan 1 syawal tetapi ia juga cabang ilmu yang mencerminkan keagungan ciptaan Allah S.W.T.

“Kegemilangan tamadun Islam terdahulu banyak dipandu oleh kehebatan ilmuan falak seperti Ibnu Yunus yang secara tidak langsung membuktikan Islam sangat menekankan kepentingan ilmu dan ketepatan dalam melakukan amal ibadah,” ujarnya.

Justeru, beliau mengharapkan program sebegini akan terus diperkasa dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memartabatkan ilmu falak sebagai teras kecemerlangan umat Islam.