Oleh: Aizal Samsaruddin
1 Januari 2019
SEMPORNA: Jabatan Amal Negeri Sabah Kawasan Semporna menyertai program khidmat masyarakat sempena malam ambang tahun baru 2019 anjuran Persatuan Adab Dan Aman Malaysia (ADAM) disini pekan Semporna semalam.
Program ini diadakan dengan kerjasama pelbagai NGO antaranya Jabatan Amal Negeri Sabah Kawasan Semporna, Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara Malaysia (HaRUM), Biro Bina Insan USIA, dan pelbagai lagi.
Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk menyantuni para gelandangan bagi meraikan sambutan tahun baru bersama-sama mereka yang serba kekurangan dan menghadapi kehidupan yang daif.
Selain itu, program ini juga turut memberikan perkhidmatan mengutip sampah disekitar padang bandaran Semporna sehingga di pelusuk pekan Semporna.
Habib Mohd Faizal, Pengerusi Persatuan Adab Dan Aman berkata program ini bukan sahaja untuk mendidik gelandangan agar sentiasa bersyukur malahan juga memperkenalkan mereka dengan cara hidup Islam mudahan dengan cara itu akan menjadi asbab mereka mendapat hidayah.
“Kita perkenalkan mereka tentang cara hidup Islam dan mendidik mereka supaya sentiasa bersyukur dengan keadaan yang sekarang. Semoga dengan cara ini menjadi asbab untuk mereka mendapatkan hidayah,” Katanya.
Sharil Shazwan, Timbalan Ketua Jabatan Amal Semporna turut menyampaikan ucapan dan merakamkan penghargaan kepada penganjur atas jemputan menjayakan program ini.
“Saya mewakili pihak Jabatan Amal Semporna merakamkan setinggi penghargaan kepada penganjur atas jemputan ini dan saya mengharapkan program sebegini diteruskan agar dapat membuka mata masyarakat tentang budaya bebas sampah sekaligus mampu menarik lebih ramai anak muda untuk terlibat sama menjayakan program sebegini,” Katanya