Home Berita PAS Perak

Jabatan Amal Parit Buntar bantu bersih pantai Ban Pecah

258
SHARE

Oleh : Muhammad Nizar

PARIT BUNTAR, Menyedari kepentingan kelestarian alam sekitar, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Parit Buntar dan badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Lestari Parit Buntar memberikan komitmen mereka dalam membantu kerja pembersihan pantai di sekitar kawasan pantai Ban Pecah di sini, semalam.

Pengarah Program Khidmat Masyarakat, Haji Zulkefli Abdullah berkata program itu bertujuan untuk menjaga kebersihan Pantai Ban Pecah yang merupakan tarikan baharu pelancongan di daerah Kerian terutamanya setelah negara kita beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 yang membenarkan aktiviti rekreasi dan pelancongan.

“Program ini turut dilaksanakan bersempena Hari Malaysia untuk menambah lagi rasa patriotisme dalam kalangan individu terutama hal menjaga kebersihan di tempat awam serta memelihara alam sekitar.

“Menerusi program ini, kami mengutip sampah sarap, sisa-sisa makanan termasuk bahan-bahan bungkusan makanan dan minuman serta barangan terbuang di dua buah lokasi yang merupakan kawasan tumpuan pengunjung,” kata Zulkefli kepada wartawan ketika ditemui selepas program.

Sementara itu, Pengerusi NGO Sahabat Alam Lestari, Tuan Shaiful Amir berkata, menerusi program ini secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melestarikan alam sekitar daripada terjejas atau musnah akibat perlakuan segelintir manusia yang tidak berharmoni sekali gus mendidik amalan positif dan patriotisme dalam kehidupan mereka.

“Kami harap khidmat masyarakat ini dapat memberikan cetusan inspirasi kepada para pengunjung untuk memainkan peranan masing-masing untuk menjaga keseimbangan ekosistem sekeliling dan memelihara alam sekitar.” katanya.

Yang turut hadir, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Tuan Haji Ahmad Azhar Sahrin pula menjelaskan PAS akan terus komited melalui pelbagai saluran kami untuk memberi bakti kepada seluruh masyarakat serta alam sekitar khususnya di Parit Buntar.