Home Berita PAS Terengganu

Jabatan Amal kerah anggota bantu agih air

141
SHARE

KUALA NERUS, 6 Ogos – Jabatan Amal Malaysia (Amal) Kuala Nerus telah menggerakkan anggotanya bagi membantu penduduk yang terputus bekalan air di daerah terbabit.

Komander Amal Kuala Nerus, Muzakkir Mohamad berkata, sejak petang semalam hingga 4 pagi hari ini sekitar 50 petugas dikerahkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bermula dari petang semalam anggota Amal menyediakan peralatan seperti tong, penyambung paip dan kenderaan untuk bergerak ke setiap tempat.

“Sumber air kita ada ambil dari Lori Bomba, SATU dan telaga yang ada, kemudian masuk ke tempat terjejas untuk mengisi air ke tong-tong yang disediakan Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Kampung (JPKK) serta mengagihkan kepada rumah penduduk sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas tindakan hari ini, beliau memaklumkan, bermula pagi tadi Amal memantau dan memenuhkan tong-tong sedia ada.

“Kita juga tengah proses untuk menyediakan tangki-tangki air tambahan di tempat tumpuan bagi menampung keperluan penduduk,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Muzakkir mengharapkan anggota Amal agar dapat terus membantu meringankan beban masyarakat.

“Bekerjalah dengan ikhlas dan bantu rakyat yang sangat memerlukan sekarang ini dengan sebaiknya,” tambah beliau.