BATU, 8 Jun – Jabatan AMAL dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu menyemarakkan lagi amal kebajikan di bulan Ramadhan ini melalui program Singgah Sahur di sekitar Batu, semalam.
Program Singgah Sahur ini menyaksikan mobilisasi para petugas Jabatan AMAL kawasan itu ke seluruh Parlimen Batu seperti di sekitar Sentul, Batu Muda, Taman Koperasi Polis Fasa 2 dan Jalan Ipoh untuk mengedarkan makanan sahur.
Sebanyak 100 bungkus makanan sahur telah diedarkan ke agensi – agensi kerajaan dan premis-premis swasta serta individu persendirian seperti balai polis, balai bomba, pondok – pondok pengawal dan juga kedai 24 jam dalam program yang bermula dari 12.30 am hingga 4.00 am itu.
Ustaz Mohd Norhan Hamsi yang merupakan Ketua Pemuda PAS Batu turut turun padang bagi mengedarkan makanan sahur dalam program tersebut.
Program ini bertujuan untuk menyantuni saudara muslim kita yang tetap teguh bertugas di malam hari demi melaksanakan tanggung jawab masing-masing di saat orang lain lena diulit mimpi. Pengorbanan mereka yang bertugas di waktu malam begini wajar dihargai.
Jabatan AMAL dan Pemuda PAS Kawasan Batu berharap agar penghargaan sebegini dapat menyuntik semangat mereka untuk terus amanah menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh di bulan Ramadan dan begitu juga bulan – bulan lainnya.