Home Berita PAS Terengganu

“Itu Saya” – MB Terengganu sahkan gambar tular

20
SHARE

KUALA TERENGGANU — “Pergi dan balik, dua kali saya di-‘pull aside’,” Itulah pendedahan mengejutkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan sementara oleh pihak keselamatan ketika berkunjung ke Sabah, bukan sekali, tetapi dua kali berturut-turut.

Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa detik menegangkan itu berlaku ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 6 April, dan sekali lagi ketika hendak pulang pada 7 April.

Insiden itu, katanya, menjadi pencetus kepada kenyataan rasmi beliau yang tular, satu pendedahan 18 perenggan yang dimuat naik pada 10 April lalu.

“Tulisan saya yang mengandungi 18 para/point pada Khamis (10 April) itu saya tulis setelah terjadi kes ‘pull aside on hold’ (ditahan sementara sebelum berlepas bagi mendapat pelepasan polis cawangan khas) adalah ketika saya ke Sabah pada Ahad (6 April) dan pulang pada Isnin (7 April).

“Pergi dan balik berlaku ‘pull aside on hold’.

“Gambar (yang saya yakin diambil oleh orang awam) berkenaan adalah ketika balik pada Isnin (7 April lalu),” katanya ringkas kepada Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp.

Gambar yang dimaksudkan, memaparkan seorang lelaki duduk bersendirian di kawasan lapangan terbang, mula tular di media sosial sejak semalam, dipercayai dirakam oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Lelaki dalam gambar tersebut kini disahkan adalah Samsuri sendiri.

Menurut Samsuri, sebaik tiba di balai pelepasan KKIA, beliau telah ditahan oleh beberapa pegawai keselamatan dan dibawa ke tepi untuk pemeriksaan lanjut, dipercayai berkaitan dengan status khas dalam sistem kawalan keselamatan negara.

Pendedahan ini mengesahkan dakwaan serius yang dibuat oleh Samsuri dalam kenyataan medianya sebelum ini, bertajuk “Kawalan Perjalanan TCO dan Saya”, di mana beliau mendakwa telah dilabel sebagai individu berstatus Travel Control Order (TCO) oleh satu cawangan khas sejak suku ketiga 2024.

Menurutnya, status TCO itu menyebabkan setiap pergerakan keluar-masuk beliau ke mana-mana destinasi dalam negara — termasuk Sabah dan Sarawak — tertakluk kepada tapisan dan pelepasan khas, seolah-olah beliau adalah “ancaman keselamatan”.

“Saya telah dilabel dan ditandai sebagai TCO, seolah-olah saya ini penjenayah berbahaya atau musuh negara, di tanah air saya sendiri,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau turut mendakwa telefon bimbitnya dipintas, pergerakannya diintip, dan komunikasi peribadinya dipantau secara berterusan, dengan alasan “demi keselamatan negara”, namun sebenarnya bermotifkan politik.

Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan bahawa beliau bukan satu-satunya tokoh pembangkang yang menerima layanan sedemikian, malah ada individu lain turut dikaitkan dengan kategori risiko tinggi dalam sistem keselamatan negara.

Samsuri menyifatkan penyalahgunaan sistem TCO sebagai satu bentuk penindasan politik moden yang semakin berleluasa, serta memberi amaran bahawa ia mungkin sedang digunakan terhadap NGO, badan bebas, dan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengan kuasa pemerintah.

Dengan isu ini semakin mendapat perhatian, beberapa Ahli Parlimen difahamkan sedang merancang untuk membawa perkara ini ke sidang Dewan Rakyat akan datang, bagi menuntut ketelusan dan kawalan Parlimen terhadap agensi risikan negara.