POLICYTALK#1
Oleh : Sdr Hafiz Mansor
Isu UEC kembali menjadi bualan ramai setelah mendapat perhatian di peringkat kerajaan. Desakan untuk mengiktiraf sijil UEC semakin kuat, apatah lagi perkara tersebut sebahagian dari janji manifesto Pakatan Harapan yang lalu ( Sila rujuk Janji 50, Buku Harapan).
Desakan ini bukan baru. Dong Jiao Zong (Gerakan Pendidikan Cina) telah mula “bertapak” melalui cadangan penubuhan Universiti Merdeka, reaksi terhadap Akta Pendidikan 1961, dan bergerak secara aktif sejak PRU 1969, 1974 dan 1978 disebalik sokongan kuat DAP sejak dahulu hingga kini (Rujuk buku “The Politics of Bangsa Malaysia”, tulisan Prof Mohamed Mustafa Ishak).
Pada 2011, Gerakan Dong Zong ini telah menghantar suatu Memorandum Dong Jiao Zong bertarikh 14 November 2011 kepada Perdana Menteri ketika itu, DS Najib Razak.
Selain beberapa tuntutan besar yang dikemukakan, mereka juga telah mendesak kerajaan untuk mengiktiraf sepenuhnya UEC serta menerimanya sebagai “salah satu kelayakan untuk permohonan masuk ke IPTA, institut pendidikan guru dan sektor perkhidmatan awam” (ms. 25)
Mereka juga mendesak kerajaan supaya menerima tamatan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dalam sektor awam dan menjadi guru bagi menampung kekurangan guru di SJKC.
Saya melihat isu UEC ini akan terus berlanjutan dan tidak akan diselesaikan dalam masa yang terdekat.
Di samping itu, kita juga boleh melihat beberapa perkara di sini:
Pertama, Menteri Pendidikan berhasrat melakukan kajian terperinci supaya tidak berlaku U-turn dalam isu UEC, walhal tindakan mereka sendiri telah menunjukkan mereka U-turn terhadap janji asal mereka dalam manifesto. Tetapi persoalan utama di sini, adakah mereka mengkaji terlebih dahulu kesan sosial jangka panjang ketika merangkanya sebelum bersetuju untuk diletakkan dalam manifesto?
Kedua, pembentukan bangsa (nation-building). Isu ini merangkumi perbahasan yang panjang. Sama ada ia bersifat hipokrasi politik atau tidak, bahasa dan dasar sistem pendidikan sememangnya merupakan salah satu instrumen utama dalam membentuk jati diri seseorang. Gerakan Dong Zong ini sejak dari merdeka menentang sebarang idea asimilasi kaum dengan melihat kepada pelbagai desakan mereka sehingga ke saat ini yang tidak membantu kepada idea penyatuan bangsa (national integration).
Ketiga, soal masa depan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Pengenalan Dasar Pendidikan 1961 bukan sahaja menjadikan Bahasa Melayu ketika itu sebagai bahasa pengantar pendidikan, bahkan bagi memastikan jati diri negara dapat dibentuk melalui bahasa dan sistem pendidikan.
Namun, pindaan akta pada 1966 dilihat mengambil jalan mengundur kebelakang, sekaligus mengitiraf SMPC, kolej dan universiti swasta untuk menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar. Ertinya, seseorang juga boleh memilih untuk menggunakan sistem pendidikan Bahasa Mandarin sepenuhnya bermula dari tadika sehingga ke pendidikan tertieri (universiti/kolej swasta). Ini turut berbalik kepada soal kedua tadi iaitu ‘nation-building’.
Presiden PAS ketika itu, Almarhum Ust Fadzil Noor menegaskan bahawa pindaan tersebut telah melemahkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan Bahasa Melayu bukan sahaja hanya sebagai subjek rasmi semata-mata, bahkan sepatutnya turut dijadikan bahasa pengantar utama di kolej dan universiti swasta.
Keempat, isu UEC ini juga sekaligus menjelaskan tentang kerapuhan sistem pendidikan negara hari ini dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, berhadapan dengan pelbagai desakan politik. Malah, saya melihat isu ini dipolitikkan sepenuhnya demi meraih sokongan kelompok bukan Melayu, dan ternyata ia benar-benar memberi impak besar. Kini, ia seakan-akan suatu ‘timeline’ bermula dengan kenyataan media rasmi Kementerian Kewangan yang menggunakan Bahasa Mandarin tempoh hari.
Apa yang terus menjadi persoalan adalah ke mana hala tuju pendidikan negara setelah mencapai separuh abad kemerdekaan, dan ke mana juga hala tuju penyatuan bangsa di negara ini? Persoalan-persoalan ini masih sukar untuk dirungkai.
[Penulis merupakan AJK Pemuda PAS Batu]
®Diterbitkan Oleh Penerangan Pemuda PAS Batu✓
LIKE FB PAGE ➡ Pemudabatu.com