Home Berita PAS Terengganu

Isu tanah tiga lot : Fakta sebenar sengaja diseleweng

36
SHARE

KUALA TERENGGANU – Fakta sebenar mengenai tanah tiga lot milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sengaja diseleweng pihak tertentu bagi meraih keuntungan politik.

Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Derahman berkata, tidak berlaku sebarang isu salah guna kuasa atau rasuah sebagaimana didakwa pihak tertentu.

Ini kerana katanya, pada awalnya anak syarikat kerajaan negeri itu membeli satu lot tanah berkeluasan 1.887 Ha pada tahun 2005 dengan nilaian tanah, upah juruukur dan bayaran lain sebanyak RM930,000 di Pekan Kuala Berang.

“Lot berkenaan telah dipecahkan kepada 31 lot untuk pembangunan 27 lot kediaman, tiga lot kedai atau pejabat dan 1 pencawang.

“Setelah pembangunan perumahan siap dan kesemua lot berkenaan telah dijual, PMINT mula merancang untuk membangunkan perkedaian di atas tiga lot tanah yang masih berbaki.

“Namun, setelah menjalankan Kajian Kemungkinan (Feasibility Study), didapati projek itu tidak ‘viable’ disebabkan permintaan untuk lot kedai tidak mendapat sambutan pada ketika itu,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Kenyataan rasmi PMINT. 

Mengulas lanjut, Wan Adnan berkata susulan kajian kemungkinan itu, PMINT bercadang untuk membuat pembangunan berkonsepkan gudang untuk disewa kepada usahawan-usahawan tempatan.

Namun ujarnya, kajian mendapati usaha itu tidak mampu dilaksanakan sehinggalah pada 18 November 2019, Mesyuarat Lembaga Pengarah PMINT Kali ke 4/2019 bersetuju untuk menjual tiga lot tanah berkenaan bagi mengelakkan ia terbiar dan tidak mendatangkan hasil disamping terpaksa membayar cukai tanah yang tidak berpotensi dibangunkan.

“Pengurusan PMINT telah mencadangkan untuk menjual tiga lot tanah (Lot 50136, 50137, dan 50138) tersebut dengan kaedah promosi jualan melalui iklan di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, media sosial serta papan tanda jualan,” jelasnya.