Home Berita PAS Terengganu

Isu Tanah Negeri Terengganu Digunakan Projek FELDA Tanpa Bayaran

2
SHARE

Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) memandang serius pendedahan media arus perdana bahawa projek ladang yang diusahakan FELDA dan FGV Holdings di Terengganu telah menggunakan tanah milik kerajaan negeri tanpa sebarang bayaran premium, cukai atau pulangan hasil sejak sekian lama. Menurut laporan Utusan Malaysia (2 Disember 2025), kerugian kepada negeri dianggarkan mencecah RM600 juta, manakala Kosmo! (11 November 2025) melaporkan kegagalan FELDA mematuhi terma perkongsian keuntungan sehingga wujud cadangan agar tanah terbabit disita sekiranya isu tidak diselesaikan.

Lebih membimbangkan, HarakahDaily (30 November 2025) melaporkan FELDA gagal memberikan sebarang maklum balas walaupun tempoh tindakan 40 hari yang dipersetujui bersama kerajaan negeri telah berakhir. Keadaan ini menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan, profesionalisme dan rasa hormat agensi persekutuan terhadap kedaulatan negeri Terengganu.

1. Tanah Negeri Adalah Hak Rakyat Terengganu

Tanah kerajaan negeri adalah aset strategik milik rakyat Terengganu. Tiada mana-mana agensi, termasuk FELDA, boleh menggunakannya tanpa perjanjian sah, bayaran premium, atau model perkongsian hasil yang jelas. Jika benar berlaku penggunaan tanpa bayaran, ia merupakan pengkhianatan amanah awam serta kerugian langsung kepada rakyat.

2. GANTI Menuntut Penjelasan Terbuka

GANTI mendesak agar kerajaan negeri memberikan penjelasan berikut kepada rakyat:

1. Keluasan sebenar tanah yang digunakan oleh FELDA/FGV.

2. Status hak milik dan rekod perjanjian yang pernah ditandatangani — jika ada.

3. Nilai premium, cukai, sewaan atau perkongsian hasil yang sepatutnya diterima oleh negeri.

4. Tindakan susulan selepas tempoh 40 hari yang diberi kepada FELDA berakhir tanpa jawapan.

Ketelusan penuh amat diperlukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pengurusan aset negeri.

3. Keutuhan Negeri Lebih Penting Daripada Politik

GANTI menolak sebarang cubaan untuk menutup isu ini atas alasan hubungan politik negeri–persekutuan.
Isu ini bukan persoalan politik kepartian, tetapi persoalan hak rakyat, kedaulatan negeri, dan integriti pengurusan tanah.

Kerjasama pembangunan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan penggunaan tanah tanpa bayaran atau tanpa dokumen sah.

4. Tuntutan GANTI

GANTI mencadangkan beberapa langkah pembetulan:

Menubuhkan Jawatan Kuasa Siasatan Rasmi di peringkat negeri.

Menyemak dan mengaudit semula semua projek persekutuan yang melibatkan tanah negeri.

Mengambil tindakan undang-undang termasuk menuntut bayaran premium tertunggak, hasil berkaitan serta opsyen penyitaan jika wajar.

Menggubal SOP baharu supaya tiada penggunaan tanah negeri oleh mana-mana agensi tanpa perjanjian bertulis dan bayaran sewajarnya.

5. Komitmen GANTI

Sebagai sebuah gerakan rakyat yang memperjuangkan terbentuknya masyarakat yang berkat dan sejahtera, GANTI komited memastikan hak serta kepentingan rakyat Terengganu dipertahankan.
GANTI akan terus memantau perkembangan isu ini dan bersuara bagi memastikan amanah, ketelusan dan integriti dalam pengurusan aset negeri sentiasa ditegakkan.

Wan Faizul Abas
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)