Home Kenyataan Media PAS Selangor

ISU SISTERS IN ISLAM MEMBUAT SEMAKAN KEHAKIMAN DI MAHKAMAH SIVIL TERHADAP FATWA PEMIKIRAN LIBRALISME DAN PLURALISME

248 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

ISU SISTERS IN ISLAM MEMBUAT SEMAKAN KEHAKIMAN DI MAHKAMAH SIVIL TERHADAP FATWA PEMIKIRAN LIBRALISME DAN PLURALISME

1. Pemuda PAS Selangor mendoakan kemenangan rayuan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jawatankuasa Fatwa dan kerajaan Negeri Selangor di Mahkamah Persekutuan pada 25 September 2018, Selasa ini. Rayuan tersebut berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Sisters In Islam (SIS) untuk membuat semakan kehakiman di Mahkamah Sivil terhadap Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 31 Julai 2014.

2. Pemuda PAS Selangor mengikuti rapat perkembangan mengenai isu ini di mana SIS telah memulakan langkah untuk mencabar fatwa tersebut pada 31 Oktober 2014 apabila memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membatalkan keputusan fatwa itu. Dan SIS berjaya mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi menentukan jika fatwa itu berperlembagaan.

3. Walaupun begitu pada permulaan, Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2016, telah menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar fatwa Selangor yang berdasarkan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan bahawa fatwa ialah perkara yang diputuskan di bawah Undang-undang Islam dan tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

4. Namun pada 2 Mac 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan oleh Sisters in Islam (SIS) dan memutuskan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes mencabar kesahihan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor.

5. Jelas tindakan SIS adalah suatu kebiadapan ke atas institusi agama apabila tidak menghormati fatwa yang telah dikeluarkan malah telah mencabar pula kesahihan fatwa di peringkat mahkamah. Malah 5 tuntutan dari SIS ke atas fatwa tersebut merupakan satu agenda yang jelas merosakkan ajaran Islam serta mencemarkan imej institusi agama di Malaysia sedangkan Perkara 3(1) telah memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.

6. Pemuda PAS Selangor memperingatkan bahawa SIS sepatutnya menghormati fatwa yang dikeluarkan apatah lagi apabila menisbahkan penubuhan mereka dengan perkataan “Islam” sedangkan pemikiran, ucapan dan tindakan mereka tidak menepati nilai dan ajaran sebenar dalam Islam. Kebiadapan ini tidak boleh diberikan ruang kerana akan membuka pintu kemudaratan yang lebih besar kepada pemikiran, moral dan gejala yang melibatkan khususnya umat Islam.

7. Dalam konteks kebebasan bersuara pula ia bukanlah tiket untuk manusia melakukan sesuatu secara sewenang-wenangnya tanpa panduan agama. Dalam konteks warganegara yang bebas namun terikat dengan undang-undang maka begitulah penganut Islam yang terikat dengan batasan agama. Sebab itu amaran dari Allah bahawa :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” [Surah al-Ahzab : 36]

8. Justeru, Pemuda PAS Selangor menyeru semua umat Islam mendoakan dan melakukan solat hajat untuk kejayaan rayuan oleh MAIS, Jawatankuasa Fatwa dan kerajaan negeri Selangor yang akan didengari oleh Mahkamah Persekutuan pada 25 September 2018, Selasa ini. Jelas dengan pasca PRU 14 ini, suara-suara sumbang semakin berani tampil kehadapan atas tiket kebebasan bersuara, maka umat Islam mestilah bersatu menunjukkan ketumbukan kesatuan menjaga agama Islam dan institusi agama ini.

USTAZ MOHAMAD SUKRI OMAR
KETUA PENERANGAN
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR (DPPNS)

14 Muharam 1440H | 24 September 2018