KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
15 Mei 2017 | 18 Sya’ban 1438
DATO’ MAHFUZ TIDAK PERLU JADI JURUCAKAP PARTI LAIN
1. Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar tidak perlu menjadi jurucakap kepada PKR, DAP atau PAN pada perkara berhubung pendirian PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor. Ia adalah ketetapan PAS dari pertimbangan maslahah dan mafsadah yang didasari syariat, serta menjadi keputusan kolektif dan bukannya hawa nafsu.
2. Penjelasan tersebut telah pun dinyatakan berulang kali dan parti tidak perlu mensyarahkannya lagi. Ia menunjukkan parti sentiasa berpijak di bumi nyata dengan realiti semasa tanpa menggadai prinsip. Adalah Dato’ dipelawa hadir ke usrah untuk mendapat keterangan lanjut agar difahami semasaknya.
3. Sebagai ahli PAS, Dato’ Mahfuz sewajibnya mengetahui saluran untuk menyatakan pendapat termasuk berbeza pandangan. Sewajibnya juga Dato’ akur dan mematuhi disiplin dan adab berorganisasi jika bertegas masih mahu menjadi ahli PAS. Jika tidak, Dato’ hanya sekadar melafaz di mulut sebagai ahli PAS, tetapi menjanggalkan diri untuk berada di rumah sendiri.
4. Soal kepatuhan dan ketaatan inilah yang sering Dato’ sebut ketika berada di saf kepimpinan dahulu, tetapi kini sebaliknya. Kami mengira wajar Dato’ muhasabah dan lebih tahu bertempat dari menzahirkan diri seperti sesumpah dan makan keliling. Kami nasihatkan, ada baiknya juga difokuskan kepada tanggungjawab di parlimen yang Dato’ wakili sekiranya masih ‘berminat’ bertanding penggal hadapan.
5. Jika Dato’ masih seronok untuk sibuk mencampuri urusan rasmi parti termasuk di parlimen dan negeri lain, elok rasanya dipertimbangkan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena kerana kedudukan itu diperolehi hasil dari hak, peruntukan dan pengorbanan parti ini.
6. Fokus PAS pasca Muktamar adalah memberi Khidmat terbaik untuk kebajikan rakyat. Kami tiada masa mahu melayan omongan kosong Dato’. Kalau benar fokus Dato’ jatuhkan BN, maka teruskan membongkar penyelewengan bukan menyerang Parti Sendiri. Cukuplah Dato’ membantu BN menyerang PAS. Seperti pepatah melayu ‘anak harimau di ajar makan daging’.
“Bersiaga Menuju Fathu”
“Mara Menuju Cita”
“Sejahtera Bersama Islam”
MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor