KUALA NERUS – Aduan Terengganu FC ke atas pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih yang mengendalikan perlawanan Liga Super pasukan itu menentang Johor DT, minggu lalu masih ‘tergantung’ sehingga hari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Penilai masih belum bertemu untuk membincangkan isu tersebut.
Tambahnya, pihaknya bagaimanapun sentiasa memandang serius isu mutu pengadilan dalam liga- liga kelolaan Malaysian Football League (MFL).
“Daripada 100 peratus aduan yang dibuat kepada Jawatankuasa Pengadil, 60-70 peratus hasil siasatan memperlihatkan pengadil membuat keputusan yang betul.
“Hanya 30-40 peratus aduan, benar-benar kesalahan pengadil.
“Yang paling sedih, dalam 90 minit perlawanan, kadang-kadang dia mungkin hanya salah membuat keputusan dalam ‘split second’ sahaja, itu yang terjadi,” katanya dalam sesi Townhall bersama Presiden FAM di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Menurut Hamidin, FAM dan Jawatankuasa Pengadil berusaha keras mempertingkatkan kualiti serta mutu disamping memastikan lebih banyak pengadil lahir dari persatuan-persatuan bola sepak negeri.
“Saya faham, harapan peminat nak zero kesilapan, namun ia tidak mungkin berlaku.
“Tetapi untuk meningkatkan taraf dan mutu, kita sudah mula untuk mendapatkan teknologi Pembantu Pengadil Virtual (VAR) dan kita harap selewat-lewatnya dapat diaplikasikan pada musim hadapan,” jelasnya.
Dalam program berkenaan, sekitar 150 wakil penyokong hadir mengajukan persoalan berkisar pembangunan akar umbi, isu keselamatan dan peraturan di stadium serta isu-isu semasa dalam liga kelolaan MFL.