Home Berita PAS Pahang

Isu nikotin: Kerajaan Madani perjudi kesihatan rakyat

92
SHARE

Oleh KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 4 Apr ♦ Tindakan kerajaan mengeluarkan semua jenis nikotin termasuk cecair vape dari Akta Racun 1952, adalah suatu keputusan gopoh.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP), Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, tindakan ini memperlihatkan seolah-olah pihak Kerajaan Madani reda kesihatan rakyat diperjudikan.

“Keputusan ini kononnya demi menambah hasil pendapatan negara melalui duti eksais. Adakah hasil cukai lebih menguntungkan berbanding nilai kesihatan rakyat Malaysia?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan tentang apa jaminan pihak ‘Kerajaan Madani’ bahawa Rang Undang-undang (RUU) Generation End Game (GEG) akan dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat bagi menghapuskan generasi perokok?

“Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang mengecam tindakan pihak kerajaan dan menggesa ‘Kerajaan Madani’ menimbang semula keputusan ini.

“Jangan sudah terhantuk baru terngadah. Kerajaan jangan memperjudikan nyawa rakyat!” ujar beliau dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook beliau semalam.

Terdahulu, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter berkuat kuasa 1 April lalu.

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam wartanya pula turut menyatakan bahawa tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952 bagi membolehkan cukai tersebut dikuatkuasakan.