Pada 28 Mac 2023 PAS Selangor telah mengeluarkan kenyataan menuntut permohonan maaf dari New Straits Times terhadap laporannya bertarikh 27 Mac 2023 bawah tajuk “PAS goes against Selangor Sultan saying Muslims can’t visit churches, temples” yang didapati memfitnah PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi.
Tajuk ini berbeza sama sekali dengan kenyataan media PAS Selangor yang dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Selangor pada 26 Mac 2023, bawah tajuk “PAS Selangor menjunjung kasih atas titah peringatan DYMM Sultan berhubungan larangan berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam”.
Dalam kenyataan itu Dr. Ahmad Yunus dengan jelas menyebut:
“PAS Selangor menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor yang disiarkan melalui akhbar berbahasa Inggeris, The Star pada 26 Mac 2023 bahawa Ke Bawah Duli Tuanku berkenan terhadap larangan keras Majlis Agama Islam Selangor terhadap lawatan ke gereja dan gurdwara bagi mempelajari kepercayaan lain termasuk sebarang aktiviti mempromosi tujuan itu dikalangan rakyat Negeri Selangor yang beragama Islam.”
Laporan NST itu menggambarkan seolah PAS ingkar titah Tuanku (derhaka) dengan menyatakan umat Islam tidak dibenarkan sama-sekali melawat rumah ibadat bukan Islam, sedangkan kenyataan asal dari PAS tidak menyebut begitu.
Pada 29 Mac 2023 lanjutan kenyataan tegas PAS, pihak NST telah menarik balik laporan berkenaan dari portal berita mereka. Dan pada 30 Mac 2023 pihak NST telah mengeluarkan pembetulan bawah tajuk: “Clarification on PAS statement regarding visits to non-Muslim places of worship” atau “Penjelasan berkenaan kenyataan PAS berkaitan lawatan ke rumah ibadat bukan Islam”.
PAS Selangor berpuas hati dengan langkah yang diambil pihak NST bagi memperbetulkan kesilapan mereka.
Pada jam 10.00 pagi, 31 Mac 2023 wartawan Lokman Daim yang bertanggungjawab atas laporan NST itu telah hadir ke Pejabat PAS Selangor untuk memohon maaf secara peribadi kepada Dato’ Dr. Ahmad Yunus.
Pesuruhjaya PAS Selangor bagi pihak parti menerima permohonan maaf berkenaan dalam suasana yang mahabbah dan berharap agar dimasa akan datang pihak media khususnya lebih berhati-hati dalam membuat laporan. Pendekatan penyelesaian secara harmoni dan diplomatik ini mencerminkan kesungguhan PAS berpegang pada budaya politik matang dan sejahtera.
PAS mengharapkan dalam kesungguhan semua pengamal media mendukung konsep kebebasan bermaklumat, laporan yang adil dan berimbang perlulah dipertahankan dan elakkan sama-sekali mengadu-domba atau memfitnah.
ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Jumaat 31 Mac 2023/ 9 Ramadan 1444