ISU JEREBU: PERHALUSI SEMULA PERJANJIAN RENTAS SEMPADAN ASEAN ATASI PENCEMARAN JEREBU
Isu jerebu masih tidak dapat diatasi meskipun selepas lebih 17 tahun perjanjian rentas sempadan bagi mengatasi pencemaran jerebu dalam kalangan negara ASEAN telah pun ditandatangani.
Perjanjian yang ditandatangani pada 10 Jun 2002 di Kuala Lumpur itu meninggalkan tanda tanya terhadap sejauhmana ia telah dikuatkuasa sebaik mungkin bagi mengatasi masalah pencemaran yang berlarutan saban tahun.
Sudah pasti norma tidak campur tangan (non-interference) serta tidak agesif dikalangan negara ASEAN mendorong kepada pemantauan dan penguatkuasaan yang lemah terhadap perjanjian tersebut, apatah lagi ketiadaan suatu bentuk jalan penyelesaian yang tuntas di antara negara-negara yang berkenaan.
Selain daripada kempen kesedaran rakyat yang bersifat jangka pendek bagi memelihara kesihatan sepanjang tempoh jerebu ini, saya juga terpanggil untuk mendesak pihak Kerajaan supaya melakukan rundingan dengan negara-negara ASEAN yang lain supaya negara tertentu lebih bertanggungjawab terhadap pencemaran yang dilakukannya.
Keengganan sesetengah negara untuk bertanggungjawab serta bersikap “blame game” dalam isu ini tidak akan sesekali menyelesaikan pertikaian yang berlaku, bahkan rakyat kebanyakan pula akan menjadi mangsa disebabkan kedegilan sesetengah pihak.
Justeru, isu ini wajar ditangani dengan pendekatan diplomasi yang tinggi dikalangan negara-negara ASEAN serta mengharapkan penyelesaian regional yang lebih tuntas dan komprehensif bagi mengatasinya.
Sekian.
“Islam Memimpin Perpaduan”
AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
Khamis, 12 Muharram 1441H | 12 September 2019