Home Berita PAS Terengganu

Isu Felda : FGV, Jabatan Tenaga Kerja jumpa Exco

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu terus mengekalkan sikap terbuka dalam menangani isu tanah Felda apabila mengadakan sesi perbincangan bersama pihak FGV Plantations dan Jabatan Tenaga Kerja Malaysia (JTK), meskipun notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) telah dikeluarkan serta proses sitaan dijangka menyusul.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata pertemuan tersebut memberi ruang untuk membincangkan halatuju serta memastikan kebajikan pekerja ladang kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

Menurut beliau sebelum ini, beberapa jaminan sementara telah diberikan kepada pekerja bagi mengurangkan tekanan mereka sepanjang proses ini.

“Pekerja dibenarkan terus tinggal di kuarters, menggunakan bas sekolah untuk anak-anak, mengakses surau dan kemudahan perumahan ladang seperti biasa. Malah, van syarikat juga dibenarkan digunakan bagi urusan peribadi dan kecemasan,” jelasnya.

Pertemuan di Wisma Darul Iman itu dihadiri pegawai Pejabat Tanah dan Galian, wakil FGV, Ismail Mohamad (Head and Operational Reporting), Ramdzan Radzi (Ketua Sumber Manusia) dan Hairulhisal Salikin (Regional Controller Wilayah Terengganu).

JTK pula diwakili oleh Zairul Adira Ab Ghani serta Mazuyana Mohamad bersama beberapa pegawai kanan lain.

Dr. Azman turut menegaskan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri kekal berteraskan kebajikan rakyat.

“Inilah keterbukaan kami memastikan pekerja tetap diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Walaupun begitu, Dr. Azman meluahkan kebimbangan apabila FGV masih belum mengemukakan halatuju yang jelas berhubung masa depan pekerja mereka.

“Selagi para pekerja ini masih mempunyai majikan, ruang keputusan kita adalah terhad. Namun Kerajaan Negeri tetap bersedia untuk menyantuni mereka,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa JTK memahami rasional di sebalik tindakan tegas KNT, dan memberi perhatian penuh terhadap isu hak serta kebajikan pekerja agar tidak terabai dalam apa jua keputusan selepas ini.