KENYATAAN MEDIA PASTI WILAYAH PERSEKUTUAN
ISU 137 ORANG GURU KERACUNAN MAKANAN
PASTI Wilayah Persekutuan menzahirkan rasa dukacita di atas musibah yang menimpa guru PASTI Wilayah Persekutuan semalam. Seramai 137 orang guru PASTI Wilayah Persekutuan telah mengalami keracunan makanan yang disediakan pihak premis penyewaan semasa menghadiri Kursus Pemantapan Pengajaran dan Sahsiah Guru anjuran PASTI Wilayah Persekutuan.
Dari sejumlah yang terlibat, seramai 4 orang guru telah dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan susulan manakala peserta yang lain telah menerima rawatan sebagai pesakit luar. Rentetan daripada itu, beberapa buah PASTI di Wilayah Persekutuan terpaksa ditutup buat sementara waktu pada hari ini sehingga guru-guru yang terlibat pulih sedia kala.
Pihak PASTI Wilayah Persekutuan memohon ribuan kemaafan kepada para ibu bapa yang terlibat di atas penutupan sementara PASTI-PASTI yang terlibat. Penutupan ini terpaksa dibuat dengan hati yang berat dan berharap para ibu bapa memahami situasi yang dialami sekarang. Makluman terkini pembukaan PASTI-PASTI ini akan dimaklumkan kepada para ibu bapa melalui pengurus-pengurus PASTI tersebut. Sebarang kesulitan yang ditanggung amatlah kami kesali.
PASTI Wilayah Persekutuan juga berharap kejadian ini tidak mematahkan semangat para guru untuk terus mendidik anak-anak PASTI dengan penuh komited dan istiqamah.
AHMAD GHAZALI BIN NAAMAT
Pengarah
Jabatan PASTI Wilayah Persekutuan