Home Berita PAS Pahang

Istiqamah sepanjang hayat – Hazmi

76
SHARE

Oleh : FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 22 Jan : Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyah PAS Pusat, Ustaz Hazmi Dibok menyebut, istiqamah boleh diterjemah sebagai konsisten, tetap teguh, berterusan, sabar menahan diri dan tetap bertahan menegakkan Islam di muka bumi Allah SWT ini.

Di dalam ilmu tasawuf, futur (terhenti dan melengah-lengah) adalah salah satu sifat yang menjadi penyebab tidak istiqamah. Justeru itu waspadalah dengan sifat ini, ujarnya.

“Jangan keterlaluan dan berlebih-lebihan dalam urusan agama, sehingga akhirnya mengabaikan hak ke atas diri sendiri, pasangan, anak-anak, pelajaran, ibadah dan kerjaya.” katanya ketika menyampaikan taujihat (pengarahan) sempena Program Himpunan Muslimat PAS Kuantan di Pusat Tarbiyah Islam Peramu (PUTIP), di sini semalam.

“Dengan itu, apa sahaja yang dilakukan, kena buat dengan sungguh-sungguh dan terbaik. Jangan bersifat melampau sehingga ada yang terabai kerana perjuangan ini bersifat menyeluruh dan seimbang,” sambungnya.

Beliau turut berpesan agar jangan kesibukan menjadikan sebahagiannya lupa memberikan kefahaman ilmu dan fikrah Islam kepada isteri, anak-anak, keluarga dan orang keliling yang terdekat sehingga akhirnya mereka menjadi ancaman dalam perjalanan perjuangan ini.

Sebaliknya, ubah ancaman itu sebagai peluang untuk terus istiqamah sehingga akhir hayat.

Hampir 170 orang muslimat hadir pada program tersebut melibatkan 15 cawangan, antaranya; Kempadang Makmur, Peramu, Taman Guru, Batu 3, Kampung Belukar, Sg Isap Fasa 3, Kampung Razali, Inderapura dan lain-lain.

Hadir sama Ketua Assabiqat, Sidang Assabiqun, Negeri Pahang, Hajah Hasnah Arshad dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Ustazah Rosmani Mustafa.