Home Berita PAS Terengganu

‘Israel Tiada Hak Untuk Dipertahankan’

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Telah terang lagi bersuluh Israel merupakan negara haram yang tidak perlu diiktiraf dan dipertahankan serta kewujudannya telah mengakibatkan umat Islam di Palestin sengsara atas penindasan yang dilakukan.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerana itu sejak dari dahulu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara Malaysia mengiktiraf Israel malah tidak mempunyai sebarang hubungan.

“Sekiranya dia mendakwa atas keselamatan, maka dia berhak untuk dipertahankan (sepatutnya) dia juga berhak menerima bahawa orang Islam di Gaza lebih mempunyai hak untuk selamatkan diri mereka.

“Tetapi yang berlaku hari ini yang menyerang ialah Israel bukannya orang Islam yang menyerang Israel,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang medianya di Terengganu International Summit (TIS) 2024, di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, Tun Mahathir menyatakan Benjamin Netanhayu wajar diheret ke mahkamah dunia dan menerima hukuman yang setimpal kerana telah membunuh puluhan ribu nyawa umat Islam yang tidak berdosa.

“Dia (Benjamin Netanhayu) penjenayah melakukan pembunuhan terhadap manusia, (jika) membunuh satu orang pun merupakan satu jenayah, ini dia bunuh 44,000 orang Islam ini merupakan penjenayah yang besar dan perlu dikenakan hukuman gantung,” ujarnya.

Jelasnya, mengenai tindakan Amerika yang melindungi Israel katanya itu telah menjadi dasar negara terbabit.

“Walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh Israel itu adalah satu jenayah besar tetapi Amerika masih lagi menyokong negara terbabit dengan mengenakan veto terhadap segala usaha (negara Islam) untuk menghentikan peperangan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, bagi membebaskan negara Palestin dariada terus dizalimi resepinya adalah melalui kesatuan umat Islam dan perlu menghindari perpecahan yang membawa kepada kepincangan.

“Orang Islam di dunia ini seramai 1.4 bilion orang tetapi kerana kita berpecah lawan sesama sendiri kita jadi lemah dan kita tidak mampu untuk menyelamatkan negara yang dihuni oleh umat Islam,” katanya.