Israel bertanggungjawab atas kemusnahan dan kematian rakyat Gaza kerana menangguhkan rundingan gencatan senjata dan menolak tuntutan Hamas untuk menamatkan perang ke atas Gaza.
Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh berkata, kumpulan itu masih mencari penyelesaian yang dirundingkan.
Haniyeh menambah, Israel masih belum memberikan komitmen untuk menamatkan serangan ketenteraannya, menarik keluar tenteranya dan membenarkan penduduk Palestin, pulang ke rumah mereka di seluruh Semenanjung Gaza.
“Kami tidak mahu perjanjian yang tidak menamatkan perang di Gaza,” kata Haniyeh dalam ucapan di televisyen, semalam sehari sebelum bulan suci Ramadan bermula.
“Musuh masih enggan membuat jaminan dan komitmen yang jelas berhubung isu gencatan senjata dan menghentikan perang agresif terhadap rakyat kita,” tegasnya.
Beliau menegaskan, Hamas bertekad untuk membela rakyatnya dan, pada masa sama, mencari penyelesaian yang dirundingkan.
“Hari ini, jika kami menerima kedudukan yang jelas daripada pengantara, kami bersedia untuk meneruskan dengan melengkapkan perjanjian dan menunjukkan kelonggaran dalam isu pertukaran banduan,” kata Haniyeh.