BESUT – Zionis Israel dilihat lemah apabila segala usaha dan perancangannya untuk menakluki bumi Palestin terus gagal sehingga terpaksa berunding dengan pihak Hamas untuk memeterai perjanjian gencatan senjata fasa pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, berdasarkan situasi semasa yang berlaku di Gaza pihaknya yakin Perdana Menteri negara haram Israel akan meneruskan perjanjian gencatan senjata fasa seterusnya.
“Saya mengandaikan bahawa pihak Zionis Israel akan menilai apa yang berlaku ini kerana mereka mendapati bawa semua objektif (menakluki Palestin) yang mereka gariskan tidak tercapai.
“Apa yang penting ialah kita dapat melihat bagaimana rakyat Palestin begitu cekal, mempunyai keazaman yang tinggi walapun dibom, ditembak, diruntuhkan rumah dan keperluan-keperluan asas mereka, tetapi masih tidak berganjak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir merasmikan program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata kini seluruh dunia dapat saksikan puluhan ribu rakyat Palestin tidak pernah keluar dari bumi Gaza dan kini rakyat mereka yang berada dalam tahanan zionis berpuluh tahun telah kembali ke rumah masing-masing yang telah hancur musnah diletupkan rejim negara haram itu.
“Ini menunjukkan bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan yang sebenar, perjuangan untuk menuntut hak mereka yang dirampas oleh Zionis Israel.
“Sebenarnya Zionis Israel yang mesti dikeluarkan dari bumi Palestin, bukan rakyat Palestin yang mesti keluar dari bumi mereka sendiri sebagaimana yang disarankan oleh Presiden Amerika, Donald Trump,”katanya.