Minda Presiden PAS
[Bil: 48 / 2025]
ISLAM WAJIB BERDAULAT
Islam ialah al-din petunjuk Allah kepada manusia yang wajib ditinggikan sehingga berdaulat menjadi kerajaan yang mentadbir urusan negara. Inilah ketetapan yang menjadi perjuangan dan dilaksanakan oleh para anbiya’ sejak awal penciptaan Adam AS sehingga nabi terakhir, Nabi Muhammad SAW.
Dakwah para anbiya’ menetapkan supaya mengislamkan rakyat dan negara, sehingga umara’ dan ulama’ digabungkan dalam kewajipan ulu al-amr bagi memimpin kedaulatan Islam.
Kewajipan ini diisytiharkan kepada para malaikat apabila manusia diciptakan. Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]
Kebimbangan para malaikat ialah kerana makhluk jin sebelum manusia melakukan kerosakan di bumi dan melakukan kejahatan disebabkan nafsu yang merendahkan akal kurniaan Allah sehingga berperang. Para malaikat lalu diperintahkan untuk memerangi mereka sehingga menawan ketuanya, Azazil yang bergelar Iblis, disebabkan dia bersifat berputus asa daripada rahmat Allah kerana menjadikan nafsu mengatasi akal dan ilmu, sehingga menjadi takabbur (sombong) dan hasad dengki terhadap manusia.
Allah menciptakan manusia menjadi khalifah yang bermaksud mentadbir urusan dunia dengan al-din (Islam) melalui ilmu wahyu dan ilmu dunia dengan ciri-ciri fitrah yang tiada pada makhluk yang lain.
Manusia diciptakan dengan sifat yang layak untuk beribadat dan mentadbir urusan dunia yang menjadi jambatan ke akhirat. Firman Allah SWT:
۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠
“Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]
Khalifah bermaksud Islam bertamkin (berkuasa). Inilah maksud berdaulat yang dihuraikan oleh firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]
Pemerintahan negara disenaraikan bersama ibadat kepada Allah dan merupakan janji Allah SWT kepada orang-orang yang beriman:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi (berdaulat), sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya (Islam) untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]
Islam itu wajib ditinggikan dengan berkuasa, bukan pada namanya dengan menggunakan perkataan khalifah, imam, amir, raja dan lain-lain, tetapi pada kedudukan Islam yang mulia sebagai aqidah, petunjuk, dan matlamat yang berwawasan dunia sehingga akhirat. Perkara ini menjadi ujian kepada makhluk yang bernama manusia, dan Allah menyerahkannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Firman Allah SWT:
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٢٦
“Katakanlah, ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki! Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Dalam Tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah Ali ‘Imran: 26]
Hal ini ditafsirkan lagi oleh firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nya jua segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]
Kerajaan diberikan kepada orang yang soleh dan beriman serta diberikan juga kepada orang yang kafir dan zalim sebagai ujian kepada mereka yang diberikan kelebihan akal dan ilmu.
Pentingnya meninggikan Islam dalam pentadbiran urusan negara, bukan sekadar perkataan khilafah pada namanya. Jika melihat kepada sejarah, Abu Bakar dan ‘Uthman RA dinamakan Khalifah, ‘Umar RA dinamakan Amir al-Mu’minin, sementara ‘Ali RA dinamakan Imam.
Selain itu, Rasulullah SAW mengekalkan gelaran raja kepada Raja Yaman, Raja Oman, dan Raja Habsyah yang memeluk Islam, di samping para pendakwah daripada kalangan ulama’ turut mengekalkan jawatan para raja yang memeluk Islam di Nusantara.
Demikian juga, al-Quran menyebut Nabi Dawud AS sebagai khalifah. Adapun Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain dinamakan raja.
Oleh yang demikian, Allah menetapkan bahawa Islam wajib ditinggikan berdaulat memerintah semua yang lain. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]
Di sini menunjukkan bahawa Islam wajib dimenangkan sehingga bernegara. Semua yang lain, sama ada yang bernama agama mahupun ideologi mesti dikalahkan.
Mereka yang paling bermusuh terhadap Islam dan semua anbiya’ terdiri daripada pihak yang memerintah negara yang bernama raja atau al-mala’, iaitu kumpulan yang berkuasa dan memaksa rakyat bersama mereka. Keadaan ini menunjukkan Islam dilihat sebagai penghalang terhadap kezaliman dan salah laku mereka apabila berkuasa.
Nabi Nuh AS menghadapi tentangan daripada al-mala’ (kumpulan pemimpin) pada zamannya, Nabi Ibrahim AS ditentang oleh Raja Namrud, Nabi Musa AS menghadapi Firaun, Nabi ‘Isa AS menghadapi Raja Herodes, dan Nabi kita Muhammad SAW menghadapi para pemimpin jahiliah Arab serta kuasa besar Parsi dan Rom.
Sehingga hari ini, apa-apa sahaja yang berjenama Islam pasti dianggap pengganas tanpa mengira mazhab dan kaum. Mereka sama ada dipaksa berperang walaupun tidak melampau kerana mempertahankan Islam, mahupun diberikan jenama pengganas sehingga menguatkuasakan undang-undang terhadap sesiapa yang berjenama Islam. Termasuklah kalangan yang memilih pendekatan damai walaupun berdakwah tanpa politik, dengan menunjukkan keperibadian Islam bagi dirinya sahaja, seperti iltizam dengan ibadat dan berpakaian menutup aurat.
Kita masih mengalami pengaruh penjajah bukan Islam yang bukan sekadar menakluk tanah air kita di seluruh dunia, malah menakluk juga fikiran dan kefahaman kita terhadap Islam, sehingga kita sendiri yang mengaku Islam merendah-rendahkan Islam dan menolong penjajah bagi menjatuhkan kerajaan Islam. Maka, Islam dihina mengikut arahan manusia yang bersifat lemah.
Penentangan terhadap Islam berlaku sejak Iblis (pemimpin syaitan) mencabar Allah dengan sifat takabbur dan hasadnya terhadap Adam AS yang telah dimuliakan oleh Allah SWT:
قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغۡوِيَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٨٢
“Iblis menjawab, ‘Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya.” [Surah Sad: 82]
Namun, Iblis mengaku bahawa bukan semua manusia dapat ditipu:
إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ ٨٣
“Kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis antara mereka.’” [Surah Sad: 83]
Iblis ialah makhluk yang mengenali Allah dan kuat beribadat pada asalnya, tetapi bersifat buruk dalam dirinya, khususnya sifat takabbur sehingga menolak kebenaran yang dikenalinya dan mengetahui akibatnya. Apabila nafsu menguasai diri, maka dia boleh bertindak tanpa perhitungan, walaupun berilmu dan bijak akalnya.
Usaha Iblis berjaya menubuhkan bala tentera bagi menipu orang-orang beriman yang dilakukan pada sepanjang zaman. Amaran ini dinyatakan oleh Allah bahawa para syaitan (bala tentera Iblis) itu menggunakan banyak pendekatan. Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW mentafsirkan ayat ini kepada para sahabatnya dengan melakarkan di atas tanah satu garisan yang lurus, kemudian di semua pihak kanan dan kirinya ada banyak cabang yang dicipta oleh syaitan bagi menggoda manusia di setiap kepala cabang. [Lihat: Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 4142, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud].
Maka, orang yang bertaqwa wajib beristiqamah mengikuti garisan yang lurus dengan memahami ilmu Islam yang bersumberkan al-Quran dan Hikmah Nabawiah.
Firman Allah SWT mendedahkan bahawa bala tentera syaitan itu terdiri daripada jin (makhluk ghaib) dan manusia yang dapat dilihat dan didengar penipuan mereka:
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ ٣ مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ ٤ ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ ٦
“Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. (1) Raja manusia. (2) Sembahan manusia. (3) Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. (4) Yang membisikkan (kejahatan) dalam dada manusia. (5) Daripada (golongan) jin dan manusia.’ (6)” [Surah al-Nas: 1–6]
Mereka yang jahil akan agama Islam, berilmu tanpa tafaqquh, mengejar kesenangan dunia sahaja tanpa akhirat, atau bersendirian tidak bersama jemaah Islam akan dapat diheret oleh bala tentera Iblis melalui cabang-cabang yang banyak.
Kita dapat menyaksikan pada zaman kelemahan umat Islam yang jahil akan agama atau mengejar dunia tanpa akhirat, ramai kalangan yang mengaku Islam pada namanya sahaja menjadi alat musuh bagi menjatuhkan kerajaan Islam yang berakhir dengan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada awal abad yang lalu. Termasuk menjatuhkan kesultanan Islam di Tanah Melayu ialah orang Melayu sendiri kerana kejahilan agama atau tidak bertafaqquh dalam urusan agama Islam. Allah SWT berfirman:
۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢
“Tidak sepatutnya bagi para Mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan mereka) tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]
Ayat ini menegaskan bahawa bukan sahaja perlu menuntut ilmu Islam, tetapi hendaklah turut disertakan dengan memperdalam pengetahuan ajarannya dan memahami adanya cabaran daripada ajaran yang salah dan kefahaman yang sesat. Inilah peranan para anbiya’ pada setiap zaman, iaitu membetulkan penyelewengan dan memberikan peringatan tentang adanya bahaya kesesatan, khususnya apabila berlalu masa dengan wafatnya seseorang rasul yang diganti dengan rasul yang berikutnya.
Pada zaman tidak ada rasul hari ini, peranan membetulkan penyelewengan dan memberikan peringatan ini diganti oleh kumpulan Islam bersama para ulama’ dan pemimpin. Firman Allah SWT:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]
Ciri-ciri kumpulan Islam ialah berdakwah kepada Islam yang sempurna dalam urusan akhirat dan urusan dunia sebagai jambatan ke akhirat, di samping berkuasa memerintah kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran.
Bala tentera Iblis boleh jadi sama ada daripada kalangan yang berilmu seperti Iblis mahupun yang sesat dan jahil tidak berilmu sebagaimana yang disenaraikan di akhir Surah al-Fatihah.
Ketika kejatuhan Kerajaan ‘Uthmaniyyah pada tahun 1924, muncul seorang ulama’ al-Azhar Mesir bernama Syeikh ‘Ali ‘Abd al-Raziq yang mengarang kitab ‘الإسلام وأصول الحكم’ (Islam dan Asas-asas Hukum). Beliau menyatakan, “Bahawa urusan negara Islam yang dilakukan oleh Rasulullah SAW hanya perkara dunia yang tidak ada dalam perkara agama.”
Majlis Ulama’ al-Azhar kemudian memanggilnya untuk dibicarakan, bilamana mereka akhirnya memutuskan untuk membatalkan ijazahnya dan melucutkan jawatannya. Hal ini demikian kerana, kenyataannya bercanggah dengan hakikat ajaran Islam; menjadikan hukum syariat untuk dibaca sahaja, bukan diamalkan, di samping bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW serta ijmak para ulama’ sahabat dan tabiin.
Kitab yang menyesatkan itu digunakan oleh penjajah dan bala tentera syaitan bagi membatalkan kewajipan mendaulatkan Islam. Selain itu, ia turut digunakan oleh para ulama’ upahan dan mereka yang dianggap ilmuwan bagi membela penjajah yang menjauhkan Islam daripada penganutnya dan membatalkan kewajipan berjihad menentang penjajah.
Di sana, ada pula kalangan orientalis yang mengikuti pengajian Islam bagi memesongkan ajaran Islam yang sebenar. Pelaksanaan ajaran sekularisme oleh penjajah dan ketinggalan umat Islam dalam ilmu Islam dan ilmu dunia daripada Tamadun Islam menyebabkan ramai yang bekerja untuk penjajah.
Kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada tahun 1924 dilakukan oleh umat Islam sendiri. Begitu juga kejatuhan kesultanan Islam di Nusantara oleh orang-orang Melayu Islam yang kuat ibadatnya sahaja, tetapi jahil dalam urusan agama yang bersifat al-din.
Sehinggakan, para ulama’ yang berpendidikan agama Islam yang bertafaqquh dan berjuang mempertahankan Islam dianggap bodoh, bukan ilmuwan, dan tidak profesional, sebaliknya hanya yang berilmu dunia sahaja dianggap ilmuwan dan profesional. Maka, perjuangan Islam yang sempurna dianggap bodoh, menepati sifat golongan munafiq yang didedahkan oleh firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ ١٣ وَإِذَا لَقُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ إِلَىٰ شَيَٰطِينِهِمۡ قَالُوٓاْ إِنَّا مَعَكُمۡ إِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَهۡزِءُونَ ١٤ ٱللَّهُ يَسۡتَهۡزِئُ بِهِمۡ وَيَمُدُّهُمۡ فِي طُغۡيَٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ ١٥ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَٰرَتُهُمۡ وَمَا كَانُواْ مُهۡتَدِينَ ١٦
“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.’ Mereka menjawab, ‘Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak mengetahui. (13) Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman.’ Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya, kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok.’ (14) Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka. (15) Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk. (16)” [Surah al-Baqarah: 13–16]
Ada pula yang menipu meletakkan jenama Islam sekadar kosmetik kecantikan yang menggoda seperti Islam liberal, Islam progresif, madani, dan lain-lain.
Akhirnya, berlaku kebangkitan semula kesedaran Islam dengan kegagalan ideologi ciptaan manusia dan agama bukan Islam, menyebabkan mereka yang dihantar ke negara penjajah menyaksikan cahaya Islam menembusi masyarakat bukan Islam. Seterusnya, menyebabkan sebahagian besar kembali kepada Islam secara ilmu dan insaf. Hanya segelintir sahaja yang masih memperbodohkan kumpulan Islam yang meneruskan perjuangan dengan istiqamah.
Para anbiya’ dan para ulama’ pewaris ilmu mereka yang beramal mengajak kerajaan di tempat masing-masing supaya kembali kepada Islam, petunjuk Allah yang sempurna. Sesiapa yang degil, maka wajib dijatuhkan dan diganti dengan Islam yang berdaulat.
Allah tetap memelihara ilmu Islam yang menyuluh perjalanan kehidupan dunia yang betul menuju ke akhirat. Cahaya Islam terus mendedahkan penipu dan pembohong yang menyesatkan.
Kini, terdedah akibat buruk disebabkan mempermainkan Islam yang merosakkan dunia, supaya manusia sedar, insaf, dan kembali ke jalan Islam yang betul. Firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
Inilah punca bencana politik, ekonomi, sosial, dan alam sekitar yang memusnahkan. Oleh itu, wajib kembali semula kepada Islam (al-din), petunjuk Allah Yang Maha Mengetahui urusan makhluk-Nya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh:5 Safar 1447 / 30 Julai 2025