Home Berita PAS Terengganu

Islam Sunni pula dituduh pengganas

22
SHARE

Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin membuat kenyataan terbuka dengan mengatakan bahawa Islam Sunni ialah pengganas yang paling menjadi ancaman terkini kepada Eropah dan juga negara Barat. Sebelumnya, pihak Israel dan Barat pernah melabelkan Syiah di Iran sebagai pengganas yang paling berbahaya. Keadaan ini menunjukkan bahawa sikap mereka yang sentiasa bersatu menentang Islam dan penganutnya tanpa mengira mazhab, malah segala usaha dan langkah untuk melaksanakan Islam dihukum sebagai perbuatan ganas.

Malangnya, ada dalam kalangan umat Islam yang masih berpecah belah, kerana berterusan mengambil kira perbezaan mazhab yang telah berlalu beberapa abad lamanya. Padahal sebahagian besar daripada perbezaan tersebut telah diselesaikan oleh para ulama’ muktabar yang terdahulu dalam banyak penulisan mereka.

Keadaan sedemikian berlaku dalam kalangan mereka yang bergelar ulama’ tanpa tafaqquh dalam perkara al-din (tafaqquh fi al-din), sehinggakan ada yang mengkafirkan sesama Ahli Kiblat kerana perbezaan mazhab. Bahkan, ada juga masalah yang diperselisihkan itu termasuk dalam perbezaan bersifat furu‘ (perbezaan hukum cabang) yang berlaku dalam satu mazhab yang sama.

Apa yang berlaku ini menyebabkan umat Islam dipecahkan pula kepada dua mazhab, iaitu mazhab Sunni dan mazhab Syiah. Biarkan kumpulan ini menjadi laksana rumput kemuncup kecil yang mengganggu kerana melekat pada pakaian. Kesannya hanya menggatalkan sedikit dan mengganggu perjalanan.

Sebaliknya, kita perlu menumpukan perhatian terhadap musuh Islam yang bersatu melabelkan Islam semuanya adalah pengganas, tanpa merujuk kepada ajaran Islam yang asasi iaitu aspek yang menjadi persamaan pegangan semua mazhab. Hakikatnya, ajaran Islam bersifat wasatiyyah menentang konsep melampau dalam semua perkara, termasuk dalam hubungan dengan golongan bukan Islam.

Islam membezakan sikapnya terhadap kalangan bukan Islam dengan cara mendahulukan jalan perdamaian terhadap mereka dengan huraian yang sangat nyata, dan tidak meletakkan mereka dalam satu bakul yang sama. Nas al-Quran menyatukan semua mazhab Ahli Kiblat dalam perkara ini kerana berpandukan firman Allah SWT:

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama (kamu) dan tidak (pula) mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya, Allah mengasihi orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan orang yang memerangi kamu dalam urusan agama (kamu) dan mengusir kamu dari kampung halamanmu, serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai teman rapat. Dan (ingatlah) sesiapa menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Bahkan, Islam juga mendahulukan perdamaian dari sudut hubungan dengan pihak lain, sepertimana firman Allah SWT:

﴿وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61)

Islam mewajibkan umatnya berlaku adil dan berperikemanusiaan. Hal ini berpandukan perintah Allah SWT supaya tidak melampau dalam semua keadaan sama ada pada masa damai mahupun perang, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Apabila berada dalam keadaan terpaksa berperang pula, umat Islam diharamkan membunuh kalangan yang lemah dan tidak terlibat dengan peperangan, seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang tua, paderi di gereja, dan orang awam, serta tidak memusnahkan sumber kehidupan umum. Jika umat Islam bersikap melampau dalam perbuatan mereka, maka diwajibkan membayar hukuman pampasan kepada mangsa yang terbabit.

Dalam aspek keadilan pula, Allah SWT berfirman:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِيْنَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah dengan menerangkan kebenaran! Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa sahaja) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Umat Islam diwajibkan berlaku adil, termasuk terhadap musuh dan tawanan perang sehinggakan mereka itu wajib dilayan seperti keluarga sendiri. Perkara ini terkandung dalam nas al-Quran yang menjadi pegangan kepada semua mazhab dalam Islam yang tidak berkhilaf.

Penganut Islam diwajibkan beriman dengan semua para rasul dan kitab yang diwahyukan kepada mereka. Keadaan ini berbeza dengan penganut agama lain yang hanya beriman dengan sebahagian rasul sahaja, bukan kepada semua rasul. Tambahan lagi, penganut Islam wajib beriman kepada semua Kitab Allah, bukan kepada al-Quran sahaja, tidak seperti penganut agama lain yang menolak dan merombak sebahagian kitab yang telah diwahyukan.

Kini, muncul di Eropah kumpulan pelampau kanan yang bertindak membakar al-Quran, menghina Nabi Muhammad SAW, dan menyerang masjid sehingga membunuh penganut Islam. Pada masa yang sama, penganut Islam pula dilarang menutup aurat yang diwajibkan oleh syariat, adapun yang lain boleh bertelanjang atau memakai pakaian seperti binatang atas prinsip liberalisme.

Sepatutnya, mereka yang melemparkan tuduhan terhadap Islam itu cermin diri mereka sendiri terlebih dahulu. Sedarlah betapa tindakan melampau mereka terhadap bumi yang dijajah, antaranya membunuh dengan kejam, melakukan perniagaan hamba abdi terhadap tawanan, merompak, mencuri dan menipu hasil bumi.

Sedangkan, mereka dahulu menumpang daripada hasil ilmu tamadun Islam yang menyelamatkan mereka daripada kegelapan akibat kejahilan terhadap sains dan teknologi. Namun, mereka langsung tidak mengenang budi kerana permusuhan melampau.

Pada suatu masa dahulu, penjajah Perancis pernah membunuh lebih sejuta para syuhada’ di Algeria sahaja, termasuk dengan cara mengebom para jemaah yang sedang menunaikan solat Jumaat di masjid. Kedatangan mereka untuk menjajah Afrika pula disusuli dengan membunuh rakyat tanah jajahan secara ganas serta menawan mereka untuk dibawa ke Eropah dan ke benua Amerika.

Seterusnya akan dijual tidak ubah seperti binatang dan dijadikan hamba abdi. Malah, mereka juga membunuh penduduk asal seperti binatang buruan untuk membina penempatan buat kalangan mereka, khususnya daripada kalangan penjenayah yang dibuang negeri.

Kedatangan mereka ke Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh Negara Maju (G7 Summit) di Hiroshima seperti tindakan membasuh tangan yang berlumuran darah. Hal ini disebabkan mereka telah membunuh ratusan ribu manusia menggunakan senjata atom pemusnah yang paling ganas dalam sejarah manusia, semata-mata kerana mahu memenangi Perang Dunia Kedua. Hakikatnya, seluruh dunia mengetahui negara pertama menggunakan senjata pemusnah atom dalam sejarah berlagak menjadi pelopor perdamaian dunia.

Dua Perang Dunia yang berlaku telah menjadikan negeri-negeri lain sebagai jajahan takluk, khususnya negeri-negeri Islam sebagai medan peperangan. Sehinggakan, rakyat negeri lain yang lebih ramai menjadi mangsa korban daripada bala tentera mereka yang terbunuh.

Seterusnya, mereka menubuhkan negara haram Israel dengan bantuan persenjataan Barat. Bantuan yang diberikan kepada negara haram yang mengganas dengan nyata itu menunjukkan negara Barat sama-sama terlibat dengan keganasan yang telah dilakukan oleh negara itu.

Serangan ke atas Afghanistan dan Iraq yang mengganas membunuh rakyat tanpa pilihan, dilakukan semata-mata kerana mencari dan memburu beberapa orang pemimpin yang dituduh melakukan keganasan. Tindakan itu dilakukan tanpa melalui proses mahkamah dan proses keadilan dengan membawa bukti yang nyata, tiba-tiba rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsa yang tidak boleh dibawa ke perbicaraan Mahkamah Antarabangsa.

Apabila negara Soviet Union dahulu membekalkan senjata kepada Cuba pada tahun 60-an, ia dianggap sebagai tindakan provokasi terhadap Amerika Syarikat yang ditentang oleh Barat sehingga hampir mencetuskan peperangan. Kini, dibolehkan pula provokasi dengan mempersenjatai Ukraine oleh Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sehingga mencetuskan peperangan besar antara Rusia dan Ukraine, bahkan terus dibantu tanpa peduli terhadap keamanan dunia.

Demi menjaga kepentingan ekonominya, mereka melaksanakan perang proksi yang menjadikan rakyat negara lain mangsa peperangan, dibunuh, menjadi pelarian atau terkepung menunggu kematian dan kecederaan.

Lebih malang lagi, mereka melakukan keganasan ekonomi melalui Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan melaksanakan sistem riba yang haram, dan memaksa mata wang Dolar Amerika Syarikat menjadi nilai tukaran kewangan antarabangsa. Dolar Amerika Syarikat yang tidak diketahui adakah cagaran sandarannya atau tidak, atau mungkin hanya dicetak kertas kosong tanpa apa-apa sandaran. Adapun negara-negara dunia dipaksa bersandar kepadanya.

Realitinya, terlalu banyak senarai keganasan negara Barat yang tidak boleh diambil tindakan undang-undang antarabangsa. Hal ini demikian kerana, undang-undangnya sangat lemah dan mahkamahnya tidak berkuasa terhadap negara-negara yang nyata melakukan jenayah tersebut.

Bandingkan dengan peperangan dan tindakan umat Islam yang berkonsepkan wasatiyyah kerana mempertahankan diri serta menentang kezaliman terhadap rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Kedatangan Islam pula dianggap sebagai penyelamat, bukan penjajah kerana sifat adil Islam terhadap semua ketika memerintah dan mentadbir negeri yang telah dibebaskan. Perkara ini berpandukan kepada amaran Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿قَالَتۡ إِنَّ ٱلۡمُلُوكَ إِذَا دَخَلُواْ قَرۡيَةً أَفۡسَدُوهَا وَجَعَلُوٓاْ أَعِزَّةَ أَهۡلِهَآ أَذِلَّةٗۚ وَكَذَٰلِكَ يَفۡعَلُونَ٣٤﴾

“Ratu (semut) itu berkata, ‘Sesungguhnya, raja-raja apabila menakluki sesebuah negeri, mereka tentu membinasakannya dan menjadikan penduduknya yang mulia bertukar hina, dan demikianlah yang akan dilakukan oleh mereka.’” (Surah al-Naml: 34)

Nabi Sulaiman AS dijadikan contoh awal dalam al-Quran sebagai seorang Raja yang paling berkuasa dan adil dalam sejarah manusia, apabila Baginda memerintah negara dan menakluk negara lain berpandukan Kitab Allah (Taurat).

Maka, umat Nabi Muhammad SAW yang berpegang dangan kitab (al-Quran) yang merupakan petunjuk kepada seluruh manusia yang lebih sempurna dan lengkap membawa keadilan dan hak kepada seluruh alam. Hal ini dibuktikan pada masa kemenangannya sepanjang zaman.

Maka, ketakutan kepada Islam kini bukan kerana keganasannya yang dimomok-momokkan, tetapi kerana konsep kesederhanaan dan adil (wasatiyyah) yang diakui oleh para ilmuwan Barat dapat menawan hati manusia yang mahu mencari kebenaran. Allah SWT berfirman:

﴿ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ١٤٦﴾

“Orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan Kitab itu mengenali (Nabi Muhammad dan kebenarannya), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya, sebahagian mereka menyembunyikan kebenaran itu, dalam keadaan mereka mengetahuinya (salahnya perbuatan demikian).” (Surah al-Baqarah: 146)

Dan firman Allah SWT:

﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ١٠٩﴾

“Dan sebahagian besar Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) inginkan supaya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana hasad dengki yang (timbul) dalam diri mereka sendiri setelah nyata bagi mereka kebenaran (Muhammad). Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka hingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 109)

Perbuatan Barat yang menuduh Islam sebagai ganas adalah perhitungan yang salah dan sesat. Malah, mereka menganggap kebangkitan semula Islam sebagai bahaya yang mengganas, khususnya pengaruh Islam yang berjaya menembusi sempadan negara Barat yang telah tenggelam dalam masalah politik, ekonomi dan sosial. Sehingga berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan dan kemanusiaan berpunca daripada fahaman liberal tanpa agama yang menyebabkan berlakunya keganasan sehingga mengorbankan kanak-kanak di sekolah.

Ada kajian yang menyatakan bahawa peratusan mereka yang tidak beragama meningkat di negara-negara Barat, malah mereka yang datang ke masjid di Perancis lebih tinggi peningkatannya daripada peratusan mereka yang datang ke gereja. Manakala di Amerika Syarikat pula, jenayah terus merebak sehingga mengorbankan kanak-kanak di sekolah.

Jangan disebabkan kelemahan dan kegagalan agama kamu dan ideologi yang dicipta, Islam pula yang dipersalahkan.

Ramai penjenayah berjaya dipulihkan oleh dakwah Islam di dalam penjara, di samping meningkatnya mereka yang memeluk Islam di luar penjara. Perkara ini tidak patut dihalang dalam negara yang mengamalkan demokrasi bebas. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿قُلۡ يَـٰٓأَهْلَ ٱلۡكِتَٰبِ لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ تَبۡغُونَهَا عِوَجٗا وَأَنتُمۡ شُهَدَآءُۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ٩٩﴾

“Katakanlah, ‘Wahai Ahli Kitab! Mengapakah kamu menghalang orang beriman daripada menuruti jalan (agama Islam)? Kamu hendak menjadikan jalan itu bengkok, sedangkan kamu menyaksikan (kebenarannya)?’ Dan (ingatlah), Allah tidak pernah lalai terhadap perbuatan yang kamu lakukan.” (Surah Ali ‘Imran: 99)

Cerminkan diri kamu, jangan memfitnah Islam dan penganutnya yang lama menjadi mangsa kezaliman yang kamu lakukan.

Namun, tidak dinafikan ada dalam kalangan umat Islam yang bertindak melampau kerana kejahilannya bertidak balas terhadap kezaliman yang melampau ke atas mereka. Maka, perlu dibezakan antara ajaran Islam dengan mereka yang jahil terhadap agamanya.

Adapun kami tetap percaya kepada janji Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿…وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ٢٢٧﴾

“…Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman kelak akan tahu ke tempat mana mereka akan kembali.” (Surah al-Shu‘ara’: 227)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Zulqa‘dah 1442 / 26 Mei 2023

[Bil: 42 / 2023]