Home Berita PAS Terengganu

Islam: Pendidikan Dan Pelajaran

6
SHARE

Betapa pentingnya pendidikan dan pelajaran dalam Islam, sehingga dimulakan wahyu pertama dengan perintah yang mewajibkannya. Firman Allah SWT:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. (1) Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhan kamulah Yang Maha Pemurah. (3) Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4) Dia mengajari manusia apa-apa yang tidak diketahui. (5)” [Surah al-‘Alaq: 1-5]

Ilmu dan perkara yang berkaitan dengannya perlu dikaitkan dengan aqidah ketuhanan Yang Maha Esa, Pencipta alam, yang menjiwai manusia. Islam menggabungkan kedua-dua konsep pendidikan dan pelajaran.

Pendidikan dan pelajaran merupakan dua aspek berkembar yang tidak boleh dipisahkan. Pendidikan menjiwai pelajaran, dan kedua-duanya dicapai melalui ilmu yang menjadi makanan kepada akal dan roh manusia.

Hal ini bertujuan untuk membantu manusia melaksanakan tugas sebagai makhluk dan hamba Allah untuk beribadah, berkhilafah (mentadbir urusan dunia) dan menjalankan amanah mengikut petunjuk Allah dalam segala aspek di alam bumi. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِ‍ُٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’ (30) Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!’ (31) Mereka menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (32)” [Surah al-Baqarah: 30-32]

Ayat ini menegaskan kewajipan beribadah kepada Allah dan juga mentadbir urusan dunia dengan agama yang tidak berpisah. Kewajipan ini berwawasan panjang, bermula dari alam dunia sehingga alam akhirat, dan akan dihisab kelak. Malah, semua perkara daripada apa-apa yang diamalkan akan dihisab. Firman Allah SWT:

أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥

“Maka, adakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” [Surah al-Mu’minun: 115]

Allah membekalkan Adam AS dengan ilmu dunia dan akhirat. Maka, Islam mewajibkan kedua-duanya bagi beribadah, berkhilafah, dan menunaikan amanah. Namun begitu, perkara-perkara ini hanya dikhususkan kepada manusia, tidak kepada makhluk yang lain. Firman Allah SWT:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠ يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢

“Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (70) (Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalan di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71) Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” [Surah al-Isra’: 70-72]

Allah mengurniakan fitrah kepada manusia dengan adanya jasad, roh, akal, nafsu, dan kehidupan bermasyarakat. Setiap fitrah itu dibekalkan dengan ilmu wahyu (petunjuk daripada Allah), ilmu akal, dan pengalaman.

Islam mewajibkan mempelajari ilmu yang terbahagi kepada dua; iaitu ilmu fardu ain dan fardu kifayah.

Tujuan mempelajari ilmu fardu ain adalah bagi membentuk peribadi. Ia diwajibkan kepada tiap-tiap orang lelaki dan wanita, serta meliputi hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan dengan alam dunia.

Dalam ilmu fardu ain, setiap Muslim diwajibkan mempelajari Islam dalam perkara aqidah (iman) yang menjadi makanan hati dan roh, syariah (amalan jasad) yang menjadi makanan jasad dan roh, serta akhlak yang menjadi keperluan roh dan akal.

Pelajaran ilmu akhlak melibatkan hubungan manusia dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan makhluk yang lain. Hal ini menjadikan nafsu keinginannya lebih terkawal, tidak seperti nafsu binatang yang tidak berakal.

Ilmu fardu ain perlu dipelajari bermula dari zaman kanak kanak dan juga kalangan yang baru memeluk Islam. Dalam urusan aqidah (kepercayaan atau iman), ia meliputi kepercayaan kepada Allah dan mengenal-Nya secara ringkas, menunaikan kewajipan kepada-Nya dan beribadah kepada-Nya sahaja.

Ilmu aqidah juga merangkumi kepercayaan kepada perkara ghaib seperti dosa dan pahala, serta halal dan haram (manfaat atau mudarat) dalam semua hubungan manusia, sama ada hubungan dengan Allah ataupun makhluk yang nyata dan ghaib seperti para malaikat dan lain-lain.

Ilmu aqidah juga mempunyai hubungan dengan wawasan akhirat yang akan datang yang tidak mampu dicapai oleh akal dan pancaindera. Demikian juga hubungan dengan urusan dunia yang menjadi rukun dalam penjagaan diri, berkeluarga dan bermasyarakat.

Maka, ilmu fardu ain mestilah dipelajari dalam bahasa ibunda (bahasa kebangsaan) masing-masing. Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤

“Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah Ibrahim: 4]

Adapun ilmu fardu kifayah pula berkait dengan berilmu secara khusus dan dihuraikan secara terperinci dalam setiap perkara agama dan urusan dunia. Ilmu ini diwajibkan atas sebahagian individu yang terpilih.

Fardu kifayah dalam perkara agama meliputi semua perkara fardu ain yang dihuraikan dengan lebih terperinci dan panjang. Ia melibatkan perkara yang dinaskan secara terperinci dalam perkara yang bersifat dasar umum, mencakupi perkara yang mempunyai nas daripada al-Quran, hadis yang mentafsirkan al-Quran, atau ijtihad para ulama’ secara bersepakat atau khilaf (berbeza pendapat) kerana perbezaan kefahaman, zaman, tempat dan keadaan.

Antara ilmu fardu kifayah ialah ilmu-ilmu yang berkait dengan al-Quran dan hadis, serta ilmu-ilmu yang menghuraikan aspek aqidah, syariah dan akhlak.

Disebabkan al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, maka dihukumkan fardu kifayah mempelajari segala ilmu bahasa Arab seperti nahu (menentukan baris kepada perkataan), saraf (susunan huruf dan perubahan baris yang menjadikan maknanya berbeza), balaghah (memahami maksud perkataan), dan adab ‘Arabi (sastera Arab bagi memahami perkataan dan susunan ayat yang tepat dalam bahasa Arab).

Ilmu fardu kifayah juga merangkumi ilmu riwayat, ilmu sebab turunnya ayat, dan ilmu nasikh dan mansukh (hukum terkemudian membatalkan hukum yang terdahulu) dalam hukum yang diperintahkan secara berperingkat supaya tidak membebankan dan hukum yang memerlukan masa untuk difahami. Demikian juga ilmu asbab al-nuzul (ilmu sebab wahyu diturunkan dan hadis dinyatakan), termasuklah cerita umat terdahulu yang menjadi iktibar.

Dalam ilmu syariah (fiqh) pula, ia merangkumi ilmu usul fiqh, ilmu maqasid al-syari‘ah, ilmu siasah syar‘iyyah dan ilmu perbandingan mazhab yang berbeza dalam pelajaran ilmu aqidah, syariah dan akhlak (tasawuf).

Ilmu fardu kifayah dalam ilmu hadis pula merangkumi beberapa ilmu yang berkait dengannya seperti ilmu mustalah hadis dan ilmu sanad (sejarah dan peribadi mereka yang meriwayatkan tafsir dan hadis, termasuk yang berkait dengan riwayat bacaan al-Quran). Ada antara ilmu-ilmu tersebut turut berkait dengan ilmu aqidah, syariah dan tasawuf (akhlak).

Dalam perkara aqidah pula, ilmu yang menjadi fardu kifayah ialah ilmu mantiq (kaedah berfikir dan berhujah) dalam perkara yang boleh dicapai oleh akal, tidak dalam perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal. Maka, sesetengah ulama’ seperti Imam al-Nawawi RH dan Ibnu al-Salah RH mengharamkannya, kerana ia mewujudkan perdebatan dalam perkara ketuhanan dan ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal dan pancaindera.

Ilmu fardu kifayah juga merangkumi ilmu perbandingan agama, ilmu mazhab aqidah dan ilmu mengenai ideologi ciptaan manusia yang mencabar aqidah.

Selain itu, fardu kifayah termasuk merangkumi ilmu yang berkait dengan setiap urusan dunia bagi memenuhi keperluan kehidupan manusia. Demikian juga ilmu yang meliputi hubungan manusia dengan kejadian alam melibatkan perkara khilafah (mentadbir urusan kehidupan di alam dunia), seperti ilmu sains dan teknologi, ilmu kemasyarakatan, ilmu politik, ilmu ekonomi, ilmu perubatan, ilmu pemakanan, ilmu kejuruteraan dan lain-lain.

Bahasa Arab menjadi keutamaan bagi umat Islam untuk memahami Islam secara menyeluruh kerana al-Quran dan hadis dalam bahasa Arab. Namun begitu, bagi memahami dan menyampaikan Islam dan mengetepikan ajaran yang lain, maka ia memerlukan penguasaan berbagai-bagai bahasa. Maka, mempelajari berbagai-bagai bahasa juga menjadi fardu kifayah, sepertimana firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (bermasyarakat). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]

Islam adalah agama untuk seluruh manusia, maka ajarannya harus disampaikan kepada seluruh manusia melalui pelbagai bahasa.

Islam juga ialah al-din (ajaran yang sempurna). Maka, Islam bukan sahaja berlandaskan ilmu wahyu, malah Islam turut menerima semua ilmu yang bermanfaat daripada semua bangsa yang bertamadun. Hal ini terbukti apabila Islam memberikan penghormatan kepada semua ilmuwan, berbeza dengan negara yang memperhambakan para ilmuwan.

Akhirnya, ramai kalangan yang menyahut seruan Islam, sama ada dengan memeluk Islam atau mereka lebih rela berada di bawah Kerajaan Islam. Hal ini membuktikan bahawa Kerajaan Islam berjaya mencipta tamadun yang benar-benar menyelamatkan manusia, bukannya merosak dan menjajah.

Malangnya, kefahaman umat Islam telah dilemahkan pada masa mutakhir, sehingga fardu kifayah itu difahami hanya melibatkan sembahyang jenazah sahaja.

‘Abdullah bin Mas‘ud RA pernah berkata:

كَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا لَبِسَتْكُمْ فِتْنَةٌ يَهْرَمُ فِيهَا الْكَبِيرُ، وَيَرْبُو فِيهَا الصَّغِيرُ، وَيَتَّخِذُهَا النَّاسُ سُنَّةً، فَإِذَا غُيِّرَتْ، قَالُوا: غُيِّرَتِ السُّنَّةُ؟

“Bagaimana keadaannya jika kalian ditimpa fitnah yang membuat orang-orang tua menjadi semakin lemah manakala anak-anak kecil pula semakin meningkat dewasa, lalu orang ramai ketika itu mengamalkan suatu perbuatan atau perkara yang menyeleweng? Namun, ketika datang orang yang ingin mengubah keadaannya, mereka justeru berkata, ‘Kenapa perkara ini hendak diubah?’”

Orang ramai pun bertanya:

وَمَتَى ذَلِكَ، يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ؟

“Bilakah hal itu akan terjadi, wahai Abu ‘Abdul Rahman?”

‘Abdullah bin Mas‘ud menjawab:

إِذَا ‌كَثُرَتْ ‌قُرَّاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ فُقَهَاؤُكُمْ، وَكَثُرَتْ أُمَرَاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ أُمَنَاؤُكُمْ، وَالْتُمِسَتِ الدُّنْيَا بِعَمَلِ الْآخِرَةِ.

“Apabila antara kalian ramai pembaca al-Quran, sedangkan para fuqaha’ sedikit, dan munculnya ramai pemimpin, sedangkan orang yang mempunyai sifat amanah sedikit, serta ketika dunia dicari dengan jalan akhirat.” [Riwayat al-Darimi, Musnad al-Darimi, al-Muqaddimah, no. 191, al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Fitan wa al-Malahim, no. 8570, dan lain-lain]

Firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Dan tidak sepatutnya orang-orang Mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi sebahagian daripada mereka (yang tinggal) untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka) tentang agama, dan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya (bahaya menolak agama) apabila mereka telah kembali kepadanya; supaya mereka dapat menjaga dirinya (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya)?” [Surah al-Tawbah: 122]

Apabila Islam memulakan pendidikan fardu ain kepada setiap individu bagi mendidik keperibadian dan meletakkan semua ilmu termasuk ilmu fardu kifayah dalam kewajipan beragama, ia menjadikan pendidikan sebagai roh kepada pelajaran dalam semua ilmu. Maka, kegiatannya termasuk dalam amal soleh yang memberi pahala. Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا إِلاَّ كَانَ مَا أُكِلَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةٌ وَمَا سُرِقَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةٌ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ مِنْهُ فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ وَمَا أَكَلَتِ الطَّيْرُ فَهُوَ لَهُ صَدَقَةً وَلاَ يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إِلاَّ كَانَ لَهُ صَدَقَةٌ.
“Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dicuri daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh haiwan liar dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh burung dikira sebagai sedekah. Tidaklah seseorang bercucuk tanam kecuali dia akan mendapat (pahala) sedekah daripadanya.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Musaqah, no. 1552, daripada Jabir bin ‘Abdillah]

Maka, semua kewajipan bermasyarakat merupakan fardu kifayah yang diberikan pahala amal soleh, bukan sekadar dalam bidang pertanian sahaja.

Kesempurnaan Islam menjadi asas kemampuan memerintah masyarakat majmuk selama beberapa abad yang merupakan tempoh yang paling lama, paling aman dan paling adil. Hal ini bagi menunaikan perintah Allah SWT, sepertimana dalam firman-Nya:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Maka, diwajibkan memilih pemimpin Islam yang beriman, berilmu agama dan dunia (berpelajaran dan berpendidikan), serta berakhlak dan bermaruah (berintegriti).

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Rabi‘ al-Akhir 1447 / 25 September 2025