Home Minda Presiden

Islam mewajibkan bernegara dan mengundi kepimpinan Islam

302
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 63 / 2023]
ISLAM MEWAJIBKAN BERNEGARA DAN MENGUNDI KEPIMPINAN ISLAM


Al-Quran merupakan Kalam Allah SWT dan kitab suci yang mengandungi mukjizat ilmu sebagai petunjuk yang lengkap kepada seluruh manusia, dengan membawakan cerita bagaimana para rasul berdakwah mengajak para pemimpin, raja dan rakyat pada zaman masing-masing kepada ajaran Islam yang sempurna. Hal ini sekali gus menunjukkan bahawa perintah Allah itu merangkumi urusan melibatkan negara dan rakyat.

Ada kalangan rasul yang sempat menyaksikan kejayaan sewaktu hayat mereka, sehingga memimpin negara seperti Nabi Dawud AS yang menjadi khalifah dan Nabi Sulaiman AS yang menjadi raja besar yang memerintah negara yang sangat luas wilayahnya. Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri juga telah berjaya menegakkan sebuah negara yang disambung peranannya oleh para sahabat RA dan tabiin RH selama 13 abad lamanya. Sehinggalah berlaku kejatuhan kerajaan Islam yang mengakibatkan dunia Islam dijajah.

Selain itu, al-Quran juga menceritakan kisah raja Islam daripada kalangan bukan nabi dan rasul, seperti Raja Zulqarnain dan Talut. Nama mereka disebutkan dalam al-Quran kerana pemerintahan mereka yang adil mengikut petunjuk Allah yang dibawa oleh nabi pada zaman masing-masing.

Allah SWT telah berjanji akan memelihara ajaran Islam. Maka, umat Islam wajib menyambung perjuangan untuk menegakkannya sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“Sesungguhnya, Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya, Allah tidak mengasihi orang yang khianat lagi kufur (menentang perintah Allah). (38) Telah diizinkan bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. (39) (Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka (Makkah) tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebutkan nama Allah SWT. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah juga dikembalikan segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 38-41]

Ayat di atas menunjukkan bahawa perjuangan Rasulullah SAW itu sehingga ke tahap memerintah sebuah negara bermasyarakat majmuk daripada pelbagai bangsa dan agama. Negara sebegitu wajib dipimpin oleh mereka yang menganut Islam dengan sempurna.

Oleh sebab itu, walaupun ditawarkan oleh para pemimpin Makkah untuk menjadi raja atau pemimpin dengan diberikan harta kekayaan, namun Rasulullah SAW menolak dan menegaskan kepada bapa saudaranya, Abu Talib dengan sabdanya:

يَا عَمُّ، ‌وَاَللَّهِ ‌لَوْ ‌وَضَعُوا ‌الشَّمْسَ ‌فِي ‌يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ، مَا تَرَكْتُهُ.

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam yang sempurna), sehingga Allah memenangkannya atau aku dimatikan kerananya (perjuangan), nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkannya!” [Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 266]

Apabila penduduk Madinah daripada kalangan kaum Aus dan Khazraj memeluk Islam, mereka berbaiah dengan menyerahkan tanah air mereka untuk dijadikan tempat bagi menegakkan negara yang diperintah oleh Allah, maka berlakulah peristiwa hijrah. Justeru, dikumpulkan semua para sahabat dari Makkah dan lain-lain bermukim di situ bagi menegakkan sebuah negara yang dinamakan Madinah (bermasyarakat majmuk berkonsepkan madani yang sebenar).

Negara Madinah dibentuk berlandaskan iman, amal soleh, amar ma‘ruf, nahi munkar dan berwawasan akhirat, serta dikuasai oleh kepimpinan Islam yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia, mengikut ketetapan Allah SWT. Menjadi kewajipan ke atas umat Islam bagi menunaikan amanah yang besar ini iaitu mentadbir dunia dengan Islam. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada ahlinya yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulu al-amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]

Al-Quran ialah petunjuk sepanjang zaman yang menegaskan bahawa manusia wajib hidup bernegara dan memilih pemimpin daripada kalangan Ulu al-Amr (yang mengendalikan urusan umat). Istilah ini ditafsirkan khusus kepada para ulama’ (penjaga amanah ilmu) dan umara’ (pemimpin yang melaksanakannya).

Apabila wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat berhimpun di Saqifah Bani Sa‘idah, sehingga hanya beberapa orang sahaja yang tinggal menguruskan pengebumian Baginda SAW. Sebaliknya, mereka pergi berhimpun untuk memilih pemimpin yang dicalonkan bagi menggantikan tempat Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar RA, ‘Ali bin Abi Talib RA dan Sa‘ad bin ‘Ubadah RA.

Mereka mendengar salah seorang sahabat menyatakan sabda Rasulullah SAW tentang kriteria memilih pemimpin seperti berikut:

الْأَئِمَّةُ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ.

“Para pemimpin utama dipilih daripada kalangan kaum Quraisy.” [Riwayat Ahmad, No. 19777 dan Abu Dawud, No. 968]

Maka, mereka bersepakat memilih Abu Bakar RA dan begitulah seterusnya.

Para ulama’ Fiqh Siasah Syar‘iyyah (Fiqh Politik Islam) mentafsirkan hadis ini dengan maksud pemimpin mestilah terdiri daripada kalangan bangsa majoriti yang menganut Islam.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Allah SWT mewajibkan adanya kumpulan Islam (jemaah atau parti Islam) yang menunaikan kewajipan memerintah dunia dengan Islam. Firman Allah SWT:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah dari perbuatan yang munkar; merekalah orang-orang yang berjaya.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Ayat ini ditafsirkan dengan lebih lanjut oleh hadis Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:

مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ، وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ ‌خُلُوفٌ ‌يَقُولُونَ ‌مَا ‌لَا ‌يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

“Tiada seorang nabi pun yang dilantik oleh Allah dalam kalangan umat sebelumku, melainkan ada bersamanya daripada kalangan umatnya para pengikut yang setia dan para sahabat yang mengambil ajarannya dan patuh kepada perintahnya. Kemudian, selepas ketiadaannya ada pula para pemimpin yang mengambil tugas bercakap apa yang tidak dilaksanakan (berbohong) dan melakukan apa yang tidak diperintahkan (melakukan kemungkaran). Maka, sesiapa yang berjihad dengan tangan (tenaga) bagi mencegahnya, nescaya dia beriman. Dan sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, nescaya dia juga beriman dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya (membenci dengan tidak menyokong), nescaya dia beriman. Dan tiada lagi iman selepas itu, walaupun sebesar biji yang paling kecil (berkecuali tanpa menentangnya).” [Riwayat Muslim, No. 50]

Apabila berlakunya penyelewengan, maka wajib dilakukan perubahan dalam pemilihan pemimpin.

Sesungguhnya, Islam mendahulukan perdamaian dalam perjuangannya, termasuklah apabila musuh menyerang, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾

“Dan jika mereka (pihak musuh) condong kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61)  Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan sokongan para Mukmin. (62) Dan Dialah juga yang menyatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi, Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61-63]

Maka, para ulama’ Fiqh Siasah yang muktabar pada zaman mutakhir telah mengeluarkan fatwa akan kewajipan menyertai pilihan raya secara damai bagi memilih pemimpin dan kerajaan. Mereka meletakkan asas hukum wajib itu berdasarkan kaedah usul fiqh:

‌مَا ‌لَا ‌يَتِمُّ ‌الْوَاجِبُ ‌إلَّا ‌بِهِ ‌فَهُوَ ‌وَاجِبٌ.

“Apa-apa perkara wajib yang tidak boleh disempurnakan melainkan dengannya, maka hukumnya menjadi wajib.”

Contohnya, seseorang yang ingin mengerjakan haji diwajibkan mendapatkan pasport dan visa haji. Walaupun perkara itu tiada nas yang mewajibkannya dalam al-Quran dan hadis, tetapi disebabkan tujuannya adalah untuk mengerjakan haji yang bersifat wajib, maka hukum mempunyai pasport dan visa juga menjadi wajib.

Kaedah ini boleh dijadikan panduan dalam konteks mewujudkan sebuah kerajaan Islam dan memilih pemimpin yang hukumnya wajib berdasarkan nas al-Quran, hadis yang mutawatir dan ijmak para sahabat RA dan tabiin RH.

Imam al-Ghazali RH menegaskan dalam tulisannya:

الدِّينُ ‌أُسٌّ ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu asas, dan mewujudkan kerajaan yang berkuasa itu ialah pengawas. Perkara yang tidak mempunyai asasnya, nescaya akan runtuh; dan perkara yang tidak mempunyai pengawasnya pula akan hilang.” [Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128]

Maka, mengundi untuk menegakkan kerajaan dan melantik umat Islam yang berkuasa memimpin adalah wajib hukumnya. Bahkan, kewajipan ini termasuk dalam perkara yang akan dihisab pada Hari Kiamat kelak. Firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُولَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat bersama pemimpin mereka; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya, maka mereka akan membaca kitab mereka itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71)  Dan (sebaliknya) sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” [Surah al-Isra’: 71-72]

Seterusnya, Allah SWT menceritakan penyesalan kalangan mereka yang salah memilih pemimpin dan mengikut pemimpin yang sesat ketika hidup di dunia, sebagaimana firman-Nya:

﴿يَوۡمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمۡ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيۡتَنَآ أَطَعۡنَا ٱللَّهَ وَأَطَعۡنَا ٱلرَّسُولَا۠٦٦ وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠٦٧ رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا٦٨﴾

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya, andai kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.’ (66) Dan mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya, kami telah mentaati para pemimpin dan pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). (67) Wahai Tuhan kami! Timpakanlah kepada mereka azab dua kali ganda dan kutuklah mereka dengan kutukan yang sebesar-besarnya.’ (68)”  [Surah al-Ahzab: 66-68]

Apabila umat Islam berada dalam kedudukan yang menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan kaum lain yang nyata mencabar kuasa politik umat Islam, maka mengundi adalah jihad fardu ‘ain yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim (sila lihat hukum jihad dalam kitab-kitab fiqh, sama ada dalam bahasa Arab mahupun dalam tulisan Jawi).

Mereka diwajibkan mengundi dengan menggunakan pensel sahaja bukannya berperang dengan senjata, kecuali apabila musuh datang menakluk dengan kekerasan. Kecuaian dalam melaksanakan kewajipan mengundi boleh menyebabkan hilangnya kuasa politik umat Islam dan menjadikan umat Islam menempah kehinaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama kamu dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan orang-orang yang memerangimu dalam urusan agama kamu dan mengusir kamu dari negerimu, serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai kawanmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)”  [Surah al-Mumtahanah: 8-9]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 19 Muharram 1445 / 6 Ogos 2023