Home Minda Presiden

Islam Islahkan Tamadun

258 views
SHARE

Minda Presiden PAS

ISLAM ISLAHKAN TAMADUN


Manusia adalah makhluk bertamadun yang sinonim dengan peranannya untuk memakmurkan bumi mengikut ketetapan Allah kerana naluri kejadiannya bercirikan jasad, roh, akal, kedirian, dan bermasyarakat yang mampu mengurus makhluk lain yang diciptakan di alam dunia, disamping mereka diwajibkan juga beribadah kepada Allah Pencipta Alam. Maka makhluk lain termasuk para malaikat yang mulia tidak ditugaskan kewajipan tersebut oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana.

 

Allah mencipta manusia pertama, Nabi Adam A.S. dan pasangannya supaya berkeluarga, bermasyarakat, berbangsa dan bersuku kaum. Seterusnya memastikan mereka berpolitik, mengurus ekonomi, sains dan teknologi bagi memakmurkan bumi Allah ini.

Allah berfirman menyatakan sifat ciptaan diri manusia yang berkeluarga:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً  وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾ [النساء: 1]

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu).” (Surah An-Nisa’: 1)

Firman Allah juga menegaskan bahawa manusia itu bermasyarakat madani:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا  إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ  إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾ [الحجرات: 13]

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan, berhubungan, dan beramah mesra, serta bertolong menolong antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Allah menetapkan agenda pertama adalah ilmu dan tarbiah. Sebelum Adam dan Hawa memulakan tugas mengikut hikmah diciptakan, mereka diajar dengan firman Allah, ditontonkan makhluk yang paling baik dan taat kepada Allah supaya menjadi teladan iaitu para malaikat dan dipamerkan makhluk yang jahat supaya menjadi sempadan yang diwakili oleh iblis. Seterusnya diberi pengalaman kemewahan hidup melayan diri dalam syurga dan diajar berpasangan.

Namun, berlakunya dalam pengalaman hidup mereka ditipu oleh iblis dan melakukan dosa, akhirnya diberi hidayah keinsafan dan bertaubat. Tidak sama seperti iblis yang sombong dan tidak insaf yang tidak layak mendapat hidayah walaupun bijak dan mengenali Allah, serta pernah melihat syurga dan neraka.

Maka wujudlah makhluk manusia tinggal di bumi, diberi kemuliaan menjadi hamba Allah memerintah semua makhluk lain dengan sifat kejadiannya dan diberikan petunjuk dan ilmu kurniaan Allah.

Peranan manusia adalah menjadi hamba Allah yang bermasyarakat madani, berilmu dan berpengalaman mencapai kemajuan sains dan teknologi dengan berpandukan Al-Din, termasuk mewajibkan politik, ekonomi dan sosial. Inilah sepatutnya yang diobjektifkan dalam kehidupan mereka.

Namun berlakunya perbuatan terlajak dalam kehidupan mereka apabila terpengaruh dengan makhluk iblis yang dibuang ke alam bumi ini bersama manusia yang digoda menjadi bala tenteranya, menyebabkan ada kalangan manusia yang melampaui batas peranan dan sifat kejadian, sehingga iblis itu berjaya membentuk pasukannya. Maka berlakulah pertembungan di antara dua kumpulan yang beriman kepada Allah dan melawan Allah.

Firman Allah:

﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ  وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ  فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ  وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢١٣﴾ [البقرة: 213]

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu), (tetapi setelah mereka berselisihan) maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci (yang mengandungi keterangan-keterangan yang benar) untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, kerana ada yang melampau sempadan (ketetapan Allah). Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang melampau itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut HidayahNya).” (Surah Al-Baqarah: 213)

Kenyataan ini disebut dalam kitab agama-agama besar seperti Taurat, Injil, Veda dan lain-lain. Sila rujuk kitab suci masing-masing dengan ikhlas, jangan marah semberono terhadap Dr. Zakir Naik yang membuat pendedahan tersebut.

Dunia menyaksikan kesan tamadun yang dibanggakan hanya bersifat materialistik tanpa akidah, syariat dan akhlak seperti peninggalan Kaum ‘Aad, Thamud,  bangunan Babylon di Iraq, Piramid di Mesir, tembok besar di China, kota- kota Rom, Greece dan lain-lain.

Tamadun yang dibangunkan itu tidak peduli kepada tindakan melampau, sehingga ramai rakyat dikorban secara abdi dan harta dirompak untuk membina tamadun yang hanya kemegahan bangunan. Ini kerana tamadun dibangunkan tanpa hidayah walaupun disaksikan kehaibatannya. Berbeza dengan tamadun Nabi Sulaiman A.S. dan Raja Zulqarnain yang dipuji oleh Allah di dalam Al-Quran.

Tamadun Islam di zaman keemasan ketika Islam dilaksanakan dengan sempurna beberapa abad menunjukkan kemajuan sains yang mendahului Revolusi Industri di barat yang banyak menciplak daripada tamadun Islam untuk mencipta tamadun hari ini.

Tamadun Islam berpandukan acuan ilmu, hidayah dan tarbiah untuk membina sahsiah dan integriti manusia mengikut acuan Allah dengan mengekalkan ilmu akal, pengalaman dan kajian yang bermanfaat daripada tamadun di Timur dan Barat seperti Parsi, China, India, Rom, Greece dan lain-lain, mengislahkan tamadun terdahulu dengan menolak aspek negatif dan mencipta  tamadun Islam mengikut zamannya, mengekalkan dasar akidah tauhid para rasul terdahulu, dan melaksanakan keadilan dan akhlak yang luhur berkonsepkan sejagat (universal).

Maka banyaklah hasil ilmu yang bermanfaat bagi kehidupan dunia menjadi jambatan ke syurga di Hari Akhirat, berpandukan hidayah Allah yang dinamakan Islam.

Kerajaan Islam juga tumbang apabila meninggalkan hidayah Islam dan tinggallah bangunannya sahaja seperti di Sepanyol (Andalus) dan kerajaan Mogul di India.

Kini kita menyaksikan tanda kemusnahan tamadun barat yang mengambil sains sahaja daripada tamadun Islam dengan meninggalkan hidayah Islam, di mana menyaksikan kemajuannya sangat canggih dan hebat sehingga mengecilkan saiz dunia yang dahulunya dianggap sangat luas dan besar.

Tiba-tiba tamadun barat kini sedang membakar diri sendiri menjadi neraka dunia sebelum neraka di Akhirat kalau tidak bertaubat, disebabkan rosaknya nilai kemanusiaan dengan keruntuhan moral dan keganasan manusia sehingga lebih zalim daripada binatang.

Mencipta senjata pemusnah, merosakkan alam sekitar, merompak harta negara dan rakyat umum, menghilangkan akal manusia dengan minuman memabukkan, sehinggalah paling ganas membunuh berjuta manusia dan paling bernafsu pergaulan bebas tanpa mengenal jantan dan betina.

Allah berfirman:

﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا  أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ  أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾ [الأعراف: 179]

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati nurani (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (iktibar) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (pengajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai).” (Surah Al-A’raf: 179)

Allah juga berfirman supaya melihat tamadun warisan jahiliah terdahulu yang manusia telah dibinasakan walaupun bangunannya masih menjadi kunjungan para pelancong:

﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ١٤﴾

“Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad. (6) Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi dan besar tiangnya. (7) Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? (8) Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? (9) Dan (terhadap) Firaun yang membina bangunan-bangunan yang besar  kukuh? (10) (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). (11) Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kejahatan (di negeri-negeri itu). (12) Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; (13) Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (sebelum balasan akhirat). (14)” (Surah Al-Fajr: 6-14)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 2 Safar 1441 / 2 Oktober 2019